Pembangkang Diseru Sokong Bajet, Keputusan Undi Belah Bahagian Bukti Tak Cukup Bilangan

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi undi belah bahagian dengan keputusan undian ialah 105 undi menyokong, 95 tidak bersetuju, manakala 20 Ahli Parlimen tidak hadir.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan bahawa bahawa keputusan tersebut telah membuktikan dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mempunyai majoriti yang kukuh untuk menubuhkan kerajaan adalah tidak benar.

“Maka Port Dickson (Anwar), tercemar kenyataan YB bahawa YB mempunyai bilangan yang cukup untuk menjadi perdana menteri tapi ini dah membuktikan YB tidak cukup bilangan… jadi ini merupakan satu pernyataan yang tidak betul kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga kepada rakyat Malaysia, maka dengan itu saya minta pihak pembangkang supaya perbetulkan balik dan menyokong bajet supaya rakyat melihat dapat melihat kita prihatin terhadap rakyat,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Shahidan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga mohon untuk kerajaan mempertimbangkan penyelesaian berkaitan percukaian.

“Ada beberapa perbuatan yang berlaku pada masa yang lepas yang tidak wajar dibiarkan begitu saja maka minta kerajaan untuk mempertimbangkan apakah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah cukai ini,” katanya.
Turut disentuh oleh beliau ialah berkaitan Tabung Haji (TH) dan penjualan aset-asetnya yang banyak berlaku semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH)

“Berkenaan TH di bawah pelaburan strategik yang diberi kepada kementerian kewangan dan ada dengar cerita harta-harta TH telah dijual sedangkan sepatutnya diuruskan. Ini adalah satu perbuatan yang tidak bermaruah sedangkan ia sepatutnya diurus dan bukan dijual.

“Harta-harta TH tidak boleh dijual walaupun seinci hama pun, dan ada dengar ura-ura yang hebat untuk terus menjual… ini tidak boleh… harta-harta TH tidak boleh dijual sebab melibatkan pelaburan dari orang-orang Islam.”

Beliau turut meminta kerajaan untuk melihat semula soal spekulasi yang ditimbulkan dengan dakwaan negara mempunyai masalah kewangan.

“Minta kerajaan juga lihat semula bagaimana nak selesaikan masalah kewangan yang telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak kononnya negara tidak mempunyai kecukupan kewangan untuk mengurus negara pada masa hadapan.

“Sebenarnya semua pihak perlu bekerjasama dan bukannya mempersoalkan, dan jika kerana ketidakcukupan maka cadanglah apa-apa yang patut dibuat, misalnya Ahli Parlimen Bagan cadang supaya kita pinjam lebih… lebih 130 bilion dia pinjam, duit Petronas diambil… dan macam-macam lagi.

“Zaman PH dulu kita tak tahu wang yang diambil atau dipinjam ini dilaburkan dimana.”

Sebelum itu beliau mengucapkan tahniah kepada menteri kewangan yang telah menggulung perbahasan berkaitan Belanwan 2021 Khamis lalu.

“Inilah penggulungan terbaik yang pernah dibuat kerana menyelesaikan masalah rakyat dan teruskanlah langkah ini demi untuk rakyat sentiasa kasih dan sayang kepada kita,” katanya lagi.

Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan diluluskan di peringkat dasar Khamis lepas dengan suara majoriti.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.