Johor Kenal Pasti Sumber Baharu Tampung Hasil Tahun Depan

ISKANDAR PUTERI, 30 Nov – Kerajaan Negeri Johor sedang mengenal pasti beberapa langkah dan sumber baharu bagi menampung hasil yang terjejas pada tahun hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata antara langkah itu termasuk pihak Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) akan meningkatkan bayaran lesen, kompaun dan denda berdasarkan Enakmen Air 1921.

“Langkah lain, Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam perancangan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan haram dan menambah hasil daripada aktiviti rekreasi di kawasan tersebut manakala Kerajaan Negeri Johor sedang mengkaji semula Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1998 bagi memastikan kutipan hasil dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Faizul Amri Adnan (PH-Serom), K.Raven Kumar (PN-Tenggaroh) dan Abd Taib Abu Bakar (PN-Machap) yang ingin tahu langkah dan sumber baharu yang telah dikenal pasti kerajaan Johor bagi menampung kekurangan dan penyusutan hasil pada tahun depan.

Menurut Hasni, selain itu, terdapat beberapa punca hasil baharu yang sedang diteliti beberapa jabatan sebelum ia diputuskan di peringkat kerajaan dan dijangka menyumbang hasil kutipan sebanyak RM70 juta, tahun depan.

“Hasil kerajaan negeri Johor pada tahun hadapan berkurangan setelah pelbagai insentif diberikan kepada prorakyat seperti rebat cukai tanah dianggarkan berjumlah RM 204.89 juta, pengecualian cukai hiburan berjumlah RM60 juta, pengecualian lesen penjaja dan pengecualian sewa kedai di ruang niaga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjumlah RM41 juta serta pengecualian bayaran sewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) bersasar berjumlah RM15.54 juta.

“Kerajaan negeri Johor perlu berbelanja mengikut kemampuan kerana kestabilan fiskal juga signifikan dan perlu menjadi matlamat utama kerajaan negeri,” katanya.

Hasni berkata di samping mencari sumber hasil yang baharu, Perbendaharaan Negeri Johor juga telah menyusun strategi dalam usaha meningkatkan kutipan hasil kerajaan negeri.

Katanya, antaranya adalah meningkatkan kecekapan kutipan, mengelakkan ketirisan, memantapkan pemantauan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.