Hentikan Serta Merta Penjualan Lambak Aset Ladang Tabung Haji, Tubuh RCI – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat Tabung Haji Plantation Berhad (THP), agar kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit Tabung Haji (TH) dapat dijaga dan dipertahankan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan Pemuda UMNO juga masih tidak berganjak dengan pendirian kami agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman Pakatan Harapan (PH).

“Sejak zaman Kerajaan PH lagi, Pemuda UMNO telah membuat pendedahan termasuk pada 24 Januari 2020 setelah mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta untuk 2 anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco), mencetuskan banyak keraguan dan persoalan.

“Sehingga kini, penjelasan THP mengenai penukaran jurunilai professional bagi THP, penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta masih tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut, hari ini.

Sebelum itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang diwakili Penolong Setiausaha Datuk Hasmuni Hassan dan beberapa Exco Pemuda UMNO telah menyerahkan Memorandum Membantah Penjualan Aset-Aset Tabung Haji Plantation (THP) kepada tiga Menteri utama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan Senator Datuk Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.

Jelas Dr Asyraf Wajdi, ini adalah sebagai usaha dan jalan terakhir bagi menghentikan penjualan aset ladang THP.

“Walaupun Kerajaan telah mengarahkan THP menggunakan khidmat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia untuk membuat penilaian, THP didapati telah menulis sebanyak tiga kali kepada JPPH bagi merayu menurunkan nilai kedua-dua syarikat berkenaan bagi menjustifikasi harga jualan RM170 juta kepada Tamaco.

“Adalah amat mengecewakan apabila TH Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda Kerajaan PH lalu untuk menjual 76.2% daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar.”

Jelasnya, di dalam memorandum ini, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar kerajaan campur tangan bagi membatalkan serta-merta keputusan penjualan ini atas beberapa alasan antaranya:

(i) Aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak.

(ii) Harga Minyak Sawit Mentah (“CPO”) kini di paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan.

(iii) Harga Buah Tandan Segar Sawit (“FFB”) juga kini berada di paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan; dan

(iv) Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan (3QFY2020) THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (2019). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.