Lebih 13,000 Belia Sertai Karnival Penjana Kerjaya – Saravanan

PUTRAJAYA, 29 Nov – Karnival Penjana Kerjaya Belia 2020 yang berlangsung secara dalam talian selama tiga hari dari 24 Nov lepas menyaksikan penyertaan 13,246 belia dari seluruh negara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 65 belia telah ditawarkan pekerjaan dengan serta-merta apabila berjaya dalam temu duga terbuka secara maya, manakala 320 calon telah berjaya ke temu duga pusingan kedua.

Katanya karnival kerjaya khas anjuran bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk golongan belia itu menawarkan lebih 8,300 kekosongan jawatan oleh 26 majikan bagi menangani isu pengangguran yang semakin serius khususnya dalam kalangan belia sejak penularan pandemik COVID-19.

“Penganjuran karnival kerjaya maya oleh KSM dan KBS ini bertujuan membantu golongan belia Malaysia yang menganggur agar berpeluang menghadiri temu duga kerja dan seterusnya memperoleh pekerjaan dengan bantuan inisiatif kerajaan walaupun sesetengah negeri kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata selain temu duga terbuka, aktiviti lain turut diadakan termasuk lima webinar kerjaya yang disampaikan oleh wakil majikan dan pakar profesional, yang memfokuskan peluang pekerjaan semasa, persediaan untuk kerjaya dan kebolehpekerjaan yang telah menarik lebih 3,300 peserta.

Memetik data Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Saravanan berkata sehingga 20 Nov lepas, lebih 62 peratus daripada pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah dalam kalangan belia, yang majoritinya berumur antara 25 hingga 29 tahun, iaitu seramai 19,396 orang.

“Berdasarkan rekod KBS, kadar pengangguran belia telah meningkat kepada sembilan peratus. Susulan Agenda Pemerkasaan Belia, KSM dan KBS komited untuk bekerjasama dalam isu yang melibatkan peluang pekerjaan, pewujudan pekerjaan-pekerjaan baharu, latihan kemahiran serta akses kepada dana dan kemudahan untuk belia,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.