PRK Bugaya Dan Gerik: Terserah Kepada SPR, KKM, MKN Berbincang – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tindakan seterusnya berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya dan PRK Parlimen Gerik yang dijadual 16 Jan depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk penilaian risiko oleh KKM bagi mengetahui sama ada pilihan raya boleh dilaksanakan ketika kedua-dua kawasan berkenaan masih lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya tidak tahulah sama ada perlu ada darurat atau tidak, itu kita serahkan pada perbincangan seterusnya dan kerajaan tidak campur tangan dalam perkara seperti ini,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

SPR hari ini menetapkan pengundian PRK bagi kedua-dua kerusi berkenaan dijalankan serentak pada 16 Jan depan manakala hari penamaan calon ditetapkan 4 Jan dan pengundian awal pada 12 Jan.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Nov lalu mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat MKN hari ini memutuskan untuk membenarkan sesi pembelajaran secara bersemuka bagi kelas muzik, kelas al-Quran dan tuisyen dijalankan bermula esok.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan belum membenarkan perlumbaan sukan bermotor diadakan pada masa ini meskipun sukan tersebut dikatakan tidak melibatkan sentuhan dengan individu lain.

“KKM berpandangan walaupun perlumbaan sukan bermotor itu perlumbaan secara berasingan, tiada sentuhan, tetapi apa yang membimbangkan adalah dari segi sebelum dan selepas perlumbaan diadakan.

Beliau, bagaimanapun, mengalu-alukan cadangan berkaitan SOP yang bersesuaian dengan aktiviti sukan tersebut oleh penganjur perlumbaan sukan bermotor supaya ia dapat dibincangkan pihak MKN bersama KKM bagi mengekang penularan COVID-19.

Dilaporkan, industri perlumbaan sukan bermotor dijangka gulung tikar jika perlumbaan tidak diteruskan mengikut jadual selain memberi kesan kepada pendapatan pekerja sehingga ada yang diberhentikan kerja kerana penaja tidak dapat memberi komitmen penuh.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata Malaysia menyambut baik hasrat Thailand untuk membantu dan memberi kerjasama bagi mempergiatkan kawalan keselamatan di sempadan Thailand-Malaysia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut manakala seorang parah ditembak ketika bertugas di Padang Besar, Perlis, Selasa lalu.

Jelasnya selain melakukan tindakan bersepadu di kawasan sempadan negara, kerajaan akan melihat perkara lain sama ada terdapat keperluan untuk menambah anggota atau mewujudkan pos kawalan baharu di lokasi bersesuaian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.