Bajet 2021: Yang Penting Sekarang Pelaksanaan, Jangan Ada Kerenah Birokrasi – Irwan Siregar

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mengharapkan pihak kerajaan dapat memudahkan urusan moratoratium dan pengeluaran Akaun 1 sebanyak  RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelas beliau, pelaksanaan ini harus dilakukan dengan secara teratur tanpa kerenah birokrasi agar dapat memudahkan dan tidak menimbulkan masalah pada masa akan datang.

“Yang penting sekarang ini pelaksanaan dan jangan ada karenah birokrasi. Kalau rakyat pergi ke bank diletakkan syarat dan sebagainya… ini yang kita tidak mahu walaupun kerajaan sudah mengumumkan .

“Kita harap perlaksanaan pun dipantau supaya rakyat merasa ‘feel good’, tidak kecewa dan sebagainya. Ini akan diperhati oleh rakyat. Sekarang ini Bank Negara akan menghantar mesej kepada rakyat dan jika rakyat pergi ke bank dan pihak-pihak berkata lain maka rakyat akan ‘complain’. Ini akan timbul masalah dan mengharapkan pelaksanaan ini dibuat secara pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Bicara Belanjawan 2021 bersama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMNO Online, malam tadi.

Ulas Irwan Siregar lagi, walaupun Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz telah mengumumkan kemampuan kerajaan dalam menunaikan belanjawan semalam di Dewan Rakyat, namun kerajaan harus memandang serius terhadap hutang negara yang semakin meningkat.

“Walaupun Menteri Kewangan telah umumkan defisit tetap tidak akan berubah 5.4 peratus tapi defisit tidak akan berubah sama ada pendapatan akan meningkat atau pun kena kurangkan bajet di tempat lain.

“Dari segi hakikatnya pada bajet yang diumumkan pada 6 Nov lalu, hutang negara sudah RM950 bilion hampiri RM1 trilion. Ini harus diberikan perhatian serius supaya tidak akan meningkat lagi. Ia akan melipat kali ganda dan generasi yang akan datang kena bayar,” katanya.

Tambah Irwan Siregar, kerajaan harus cari jalan untuk menambah peruntukan dan pendapatan hasil negara dalam era pandemik COVID-19 ini.

“Saya tengok dalam bajet ini ia anggarkan RM174 bilion hasil cukai secara ‘direct’ dan ‘indirect’. Tahun ini adalah tahun yang tidak ‘normal’, pertumbuhan pun negatif.

“Kalau tahun ini (pertumbuhan) terencat dan bagaimana tahun depan dan hasil itu boleh dapat sebanyak itu. Ini harus dilihat dengan teliti oleh kerajaan dan juga fokus pertumbuhan 6.5 hingga 7.5 peratus,” ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan perlu memberi perhatian lebih mendalam mengenai perkara demikian. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.