Solidariti UMNO, BN Terpancar Melalui Kelulusan Belanjawan 2021 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata solidariti UMNO dan Barisan Nasional (BN) terpancar melalui kelulusan Belanjawan 2021.

Dalam satu ciapan di Twitternya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut bersyukur atas kelulusan belanjawan tersebut.

“Alhamdulillah. Keputusan parti melalui MKT (Majlis Kerja Tertinggi) yang menyokong Bajet 2021 dengan dua syarat telah diperakui sepenuhnya,” katanya yang turut meninggalkan tanda pagar #BNjagarakyat #Bajet2021.

Sebentar tadi, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen pembangkang untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 orang yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Untuk rekod, pada 4 Nov lalu Ahmad Zahid dalam satu kenyataan medianya berkata Ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat seramai 43 orang yang bermesyuarat sehari sebelumnya bersetuju sebulat suara akan memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 Nov, begitu juga dengan semua RUU yang akan dibentangkan oleh pihak kerajaan.

Walaupun begitu tegas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahli-ahli Parlimen BN juga bersetuju supaya kerajaan mempertimbangkan dua permintaan utama iaitu pelanjutan moratorium secara automatik dan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sekaligus.

Semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu, kerajaan telah meluluskan Skim i-Sinar yang akan membolehkan Akaun 1 KWSP dikeluarkan namun malangnya ia tidak menyeluruh kerana hanya melibatkan dua juta pencarum sahaja ditambah pula dengan syarat yang sukar.

Perkara tersebut mendapat perhatian dari UMNO dan BN agar pihak kerajaan dan KWSP melonggarkan syarat dengan mengambil kira juga rakyat yang ketika ini benar-benar sengsara akibat kekangan punca pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup kesan daripada pandemik COVID-19.

Hari ini, ketika penggulungan Kementerian Kewangan bagi RUU tersebut, Tengku Zafrul berkata kerajaan bersetuju menambahbaik i-Sinar, yang kini dibuka untuk kesemua lapan juta pencarum KWSP yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

Tengku Zafrul juga berkata kerajaan bersetuju untuk melanjutkan moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman secara automatik bagi mereka yang berada dalam kelompok B40 dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala bagi mereka yang berada dalam kumpulan pendapatan M40, hanya perlu membuat permohonan tanpa dokumen di bank masing-masing dan ia akan diluluskan dalam satu hingga lima hari. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.