Kelulusan Belanjawan 2021 Satu Intervensi Yang Sangat Dinantikan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersyukur Belanjawan 2021 telah melepasi halangan terbesar dan diluluskan demi keutamaan negara dan rakyat.

Menurut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kemaslahatan rakyat sangat mendesak dan berharap Belanjawan yang diluluskan itu merupakan intervensi yang sangat dinanti-nantikan.

“Ini adalah petanda jelas bahawa dalam keadaan sukar sebegini, kepentingan paling tinggi ialah menggandakan kebajikan, menyelamat perniagaan dan membangun daya tahan ekonomi.

“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) harus segera merancang agar Belanjawan 2021 dapat segera dilaksanakan tanpa ketirisan, karenah birokrasi dan keutamaan yang tersasar,” ujar Mohamad dalam satu kenyataan hari ini.

Ulas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu lagi, ahli Parlimen perlu terus berperanan melakukan semak dan imbang bagi memastikan Belanjawan yang diluluskan di aksana dengan sesegera mungkin dengan efisyen.

Sebentar tadi, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen pembangkang untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 orang yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.