Johor Bakal Alami Keluk Pemulihan Ekonomi Bentuk K

JOHOR BAHRU, 26 Nov – Johor dijangka mengalami keluk pemulihan ekonomi berbentuk ‘K’ menjelang tahun hadapan susulan kesan daripada persekitaran ekonomi yang semakin suram serta penurunan dalam permintaan berikutan kebergantungan dinamik aktiviti rentas sempadan Johor Bahru-Singapura.

Mengakui perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata perjalanan pemulihan ekonomi Johor masih lagi jauh berikutan kesan gelombang ketiga pandemik COVID-19 serta sempadan negara yang belum dibuka sepenuhnya.

“Johor harus mengakui bahawa ekonominya akan mengalami kelok pemulihan berbentuk K yang menyaksikan sesetengah industri memaparkan pemulihan manakala industri-industri lain terus jatuh dengan ketara.

“Contohnya, sektor pelancongan dan sektor penerbangan merupakan sektor yang semakin terkesan pada ketika ini, sebaliknya, sektor pertanian, pembuatan, perdagangan, perniagaan borong dan runcit, perkhidmatan kewangan dan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedang dan akan terus memaparkan pemulihan yang ketara,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata, pemulihan keluk K itu turut dilihat nyata dalam kalangan masyarakat.

“Misalnya golongan B40, M40 dan mereka yang bekerja sendiri mahupun yang telah kehilangan mata pencarian. Secara langsung kualiti kehidupan mereka juga tergugat dan jurang ketidaksamaan kesamarataan ekonomi akan semakin ketara,” kata beliau.

Bagaimanapun, Hasni berkata Johor dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.6 peratus hingga 7.6 peratus pada tahun hadapan bergantung kepada lima faktor termasuk kecekapan kerajaan negeri dalam mengekang gelombang pandemik baharu daripada berlaku di Johor.

Selain itu, pembukaan ataupun penutupan berterusan sempadan antarabangsa, pemulihan ekonomi negara Singapura, prestasi ekonomi negara rakan dagang negeri Johor dan dasar serta suntikan baharu daripada kerajaan Persekutuan.

“Kesemua ini membentuk satu latar dan asas yang memaparkan kepentingan dan kegentingan Belanjawan Johor 2021.

“Berbekalkan muafakat dan kesungguhan kita bersama, saya percaya bahawa Johor boleh mencapai pertumbuhan ekonomi sekitar 6.6 peratus sehingga 7.6 peratus pada tahun 2021,” kata Hasni.

Selain itu, pemulihan ekonomi Johor, akan dipacu oleh tiga agenda yang akan menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan dan ketahanan ekonomi iaitu Agenda Keselamatan Makanan Johor, Agenda Johor Digital dan penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura, kata beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.