Berhadapan Situasi Ekonomi Semasa, Johor Bentang Belanjawan Defisit Bagi 2021

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov – Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2021 dengan defisit sebanyak RM284.14 juta selepas 10 tahun berturut-turut merekodkan belanjawan lebihan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan belanjawan itu berkata kerajaan negeri mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM1.609 bilion manakala perbelanjaan berjumlah RM1.857 bilion tahun depan.

Belanjawan bertemakan ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ itu, merupakan yang pertama dibentangkan Hasni selepas Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan pada 28 Feb lepas.

“Kerajaan negeri Johor dijangka membelanjakan sebanyak RM850 juta menerusi Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan 12 Agenda Utama Belanjawan Johor 2021.

“Ya, belanjawan ini adalah belanjawan yang defisit. Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan berfokus,” katanya semasa membentangkan belanjawan itu di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Hasni berkata perbelanjaan mengurus merangkumi caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM997.21 juta, iaitu RM513.69 juta bagi emolumen dan RM483.51 juta bagi perbelanjaan lain-lain.

Beliau berkata, terdapat dua strategi kewangan Belanjawan Johor 2021, iaitu mengoptimumkan segala sumber yang ada pada kerajaan negeri, termasuk menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“PBT akan memperuntukkan sebanyak RM562 juta bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif pembangunan, kebajikan dan menangani COVID-19.

“Kerajaan negeri menerusi (GLC) juga membantu dalam menjayakan inisiatif pembangunan di Johor,” katanya.

Beliau berkata strategi kedua adalah berpandukan konsep ‘counter-cyclical measures’.

“Kerajaan negeri akan menangguhkan usaha-usaha konsolidasi fiskal pada masa akan datang, sehingga ekonomi negeri kembali mengembang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.