KKM Kenal Pasti Lima Kluster Baharu, Tiga Lagi Diisytihar Tamat

PUTRAJAYA, 25 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima kluster baharu manakala tiga kluster diisytiharkan tamat hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini sebanyak 169.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster yang tamat ialah Kluster Idaman melibatkan Daerah Petaling, Gombak, Titiwangsa dan Cheras; Kluster Bayu (Johor Bahru dan Muar), serta Kluster Bah Kota di Negeri Sembilan.

Beliau berkata kluster baharu yang dikenal pasti adalah Kluster D’Bajaru, Kluster Gangsa, Kluster Batu Tujuh, Kluster Tanjung Bunga dan Kluster Kerengge yang melibatkan Johor (dua kluster), Sabah (satu), Selangor (satu) dan Terengganu (satu).

“Bagi Kluster D’Bajaru, ia melibatkan Daerah Lahad Datu, Sabah. Kes-kes bagi kluster ini mula dilapor positif COVID-19 sejak 11 Nov lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi. Sehingga hari ini, sejumlah 609 individu disaring dengan 90 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Kluster Gangsa pula melibatkan Daerah Kuala Langat, Selangor. Kes indeks (kes ke-56,262) dilaporkan positif hasil saringan di tempat kerja pada 23 Nov lalu. Sehingga hari ini, sejumlah 78 individu disaring, dengan 30 kes dikesan positif melibatkan 29 bukan warganegara,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu Tujuh melibatkan Daerah Batu Pahat dan Johor Bahru, dengan kes indeks (kes ke-54,703) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 22 Nov lepas.

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 144 individu disaring dengan 13 kes dikesan positif bagi kluster tersebut.

Mengenai Kluster Tanjung Bunga, beliau memaklumkan ia melibatkan Daerah Johor Bahru, Johor, dengan kes indeks (kes ke-53,639) merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dilaporkan positif pada 21 Nov lepas.

Sejumlah 87 individu disaring, dengan 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini, setakat hari ni.

“Kluster Kerengga ini melibatkan Daerah Marang, Terengganu. Kes indeks (kes ke-49,709) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Nov. Sehingga hari ini, sejumlah 680 individu disaring, di mana enam kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dengan pertambahan lima kluster itu, secara keseluruhan sebanyak 339 kluster dilaporkan setakat hari ini, manakala kluster tamat pula sebanyak 170 kluster.

Jumlah kluster aktif yang merekodkan pertambahan kes hari ini pula adalah sebanyak 40 kluster, katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.