Kerajaan Lulus RM1.033 Bilion Pembiayaan PKS Penjana Setakat 13 Nov

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan meluluskan sebanyak 4,937 permohonan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai pinjaman RM1.033 bilion untuk menyokong perniagaan di bawah Pembiayaan PKS PENJANA setakat 13 Nov, 2020.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan juga telah menerima 478 permohonan PKS di bawah Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA atau Pelan Jana Semula Ekonomi Negara.

Pakej itu menawarkan kadar pembiayaan sebanyak 3.5 peratus bagi membantu kalangan usahawan sektor pelancongan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga tujuh tahun bagi tempoh pembiayaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 208 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM41.8 juta,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-30 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) untuk PKS mikro, Tengku Zafrul berkata sejumlah RM86.7 juta telah disalurkan dan memberi manfaat kepada 113,042 usahawan terbabit setakat 13 Nov, 2020.

Selain itu bagi tempoh sama, sebanyak RM197.7 juta turut disalurkan kepada 5,570 PKS mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan menerusi Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurutnya, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan makanan, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM45.2 juta suntikan modal pusingan kepada seramai 4,953 PKS mikro pertanian di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga telah melanjutkan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 Sept, 2020 hingga 30 Jun, 2021 bagi memastikan sektor pelancongan dan perhotelan dapat bertahan serta pulih.

“Setakat 13 Nov 2020, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah RM727.4 juta.

“Inisiatif lain bagi menyokong sektor itu adalah pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas bagi perbelanjaan melancong serta pengecualian cukai pelancongan sepenuhnya yang berakhir pada 31 Jun, 2021,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata nilai pengecualian duti eksport sehingga 100 peratus ke atas industri berasaskan minyak sawit yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara sehingga 13 Nov 2020 adalah berjumlah RM301.1 juta.

Merujuk Program Subsidi Upah (PSU), beliau berkata sebanyak RM148.22 juta telah dibelanjakan setakat 13 Nov 2020 bagi membantu 30,492 majikan terus beroperasi serta mengekalkan khidmat seramai 247,035 pekerja. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.