COVID-19: Malaysia Rekod Jumlah Kes Baharu Harian Tertinggi

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi jangkitan COVID-19 baharu dengan 2,188 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor masih merekodkan angka tertinggi dengan 1,623 kes, yang sebahagian besarnya melibatkan Kluster Teratai iaitu 1,511 kes.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 58,847 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 14,353 kes,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pula sebanyak 1,673 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 44,153 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut melaporkan empat kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat COVID-19 kini 341 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 112 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 49 pesakit memerlukan bantuan pernafasan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.