Lebih 100 CCTV Pantau Pendatang Haram Berniaga Di Pasar Borong KL

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan pendatang haram yang menjalankan perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur menerusi pemasangan lebih 100 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata CCTV dilengkapi ciri Kecerdasan Buatan dengan teknologi pengecaman wajah itu akan membolehkan kerja pemantauan dan kawalan di dalam dan luar pasar borong di Selayang itu dibuat dengan lebih rapi.

“Kita dapati masih terdapat peniaga yang berniaga di tempat terlarang secara curi-curi dengan berniaga di luar pagar pasar borong dan laluan pejalan kaki yang menghalang lalu lintas melibatkan peniaga dalam kalangan pendatang haram.

“Bukan sahaja di dalam pasar borong, CCTV juga dipasang di sekeliling kawasan luar pasar borong untuk pemantauan penguat kuasa DBKL, kita akan terus perbaiki dari semasa ke semasa, ” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mural dan Grafiti di pasar borong itu hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata pembinaan kemudahan asrama dengan lebih 200 katil untuk pekerja pasar borong itu telah siap sepenuhnya dan dijangka boleh digunakan mulai bulan depan.

“Kita akan buka tawaran nanti dan berunding dengan pemegang lesen (peniaga pasar) untuk membahagikan kuota tempat pekerja yang memerlukan kemudahan ini kerana tiada tempat tinggal atau sewa sekarang mahal,” katanya.

Beliau berkata kemudahan itu bakal menawarkan sewa serendah RM150 sebulan selain memudahkan pekerja pasar untuk berulang-alik ke tempat kerja sekali gus menarik pekerja tempatan termasuk dari luar ibu negara.

Terdahulu, Annuar meluangkan masa kira-kira sejam meninjau transformasi pasar borong itu yang kini lebih selesa, bersih, ceria dan bebas pekerja asing menerusi pelaksanaan penambahbaikan daripada aspek pengurusan dan tadbir urus.

Antara transformasi dan naik taraf yang dilakukan ialah tambahan stesen kerja bilik kawalan, pas pemborong dan pekerja menggunakan imbasan kod QR, pagar, serta kawasan tempat letak motosikal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.