Sidang DUN Pahang Catat Sejarah Kerjasama Erat BN Dan PAS – Sharkar

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang berakhir semalam memperlihatkan beberapa perkara yang cukup menarik antaranya pembentangan Belanjawan Pahang 2021 yang mengambil kira semua lapisan masyarakat, sektor ekonomi dan juga sektor pelancongan yang cukup terkesan ekoran penularan pandemik COVID-19.

Menurut beliau belanjawan yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah belanjawan yang inklusif, bersasar dan menyentuh denyut nadi rakyat negeri Pahang secara keseluruhannnya.

“Bertemakan, ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’, Belanjawan Pahang 202 merupakan belanjawan lebihan iaitu sebanyak RM5.332 juta. Belanjawan surplus tersebut diperoleh selepas kutipan hasil tahun depan dianggarkan berjumlah RM800.798 juta berbanding belanjawan mengurus berjumlah RM795.466 juta.

“Bagi perbelanjaan pembangunan, peruntukan adalah RM201.915 juta. Ia akan melibatkan projek infrastruktur sejumlah RM109.415 juta dengan pembiayaan cara langsung, manakala RM92.5 juta adalah daripada pinjaman kerajaan Persekutuan bagi membiayai Projek Bekalan Air,” katanya menerusi catatan di facebook.

Kata beliau lagi Belanjawan 2021 turut memberi tumpuan kepada keselesaan dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM81.165 juta atau 67 peratus berbanding 2020.

Selain daripada itu, tambah Sharkar lagi sidang DUN Pahang pada kali ini juga telah mencatat sejarahnya tersendiri apabila dapat melihat kerjasama erat dan kukuh antara wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam gagasan Muafakat Nasional (MN).

Katanya bermula dari seruan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya semua ADUN termasuk pembangkang turut membuat potongan gaji 10 peratus selepas ia dilakukan Menteri Besar dan 10 Exco, ia disambut baik oleh semua wakil rakyat PAS yang menyahut seruan berkenaan.

“Di akhir sidang DUN kali ini, kerjasama erat MN di negeri ini dapat dilihat apabila wakil rakyat PAS memberikan sokongan kepada enam Rang Undang-Undang yang dibentangkan Menteri Besar.

“Enam RUU berkenaan adalah, RUU Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2020, RUU Enakmen Hotel (Pahang) 2020, RUU Enakmen Yayasan Pahang 2020, RUU Lembaga Pembangunan Tioman (Pindaan) 2020, RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) (No. 2) 2020.

“Terdapat dari RUU berkenaan yang mana memerlukan sokongan dua pertiga ADUN untuk memastikan ia dapat diluluskan,” ujarnya.

Ujarnya lagi Alhamdulillah, dengan kerjasama erat antara BN dan PAS di bawah MN, kesemua RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti biarpun ia ditentang oleh wakil rakyat pembangkang khususnya DAP yang bertindak keluar dewan kerana tidak menyokong RUU dibentangkan.

“Saya ambil contoh, RUU Enakmen Hotel (Pahang) 2020, RUU ini perlu diluluskan untuk kita memastikan semua pengusaha hotel ini berdaftar dengan kerajaan negeri dan jika tidak berbuat demikian mereka boleh dikenakan tindakan.

“Ini penting bagi memastikan tiada lagi pihak pengusaha hotel yang culas daripada membayar cukai kepada kerajaan negeri. Saya ambil pengusaha inap desa misalnya, ramai yang menjadikan rumah mereka sebagai inap desa, tetapi terlepas membayar cukai dan hanya perlu membayar bayaran bulanan rumah sahaja.

“Selain itu, RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020. Menerusi RUU ini, kerajaan akan melantik lima Ahli Dewan Negeri (ADN) dilantik tanpa perlu melalui proses pilihan raya.

“Pelantikan ADN dilantik akan dapat meluaskan perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat terutama dalam situasi politik dan sosio-ekonomi yang mencabar akibat penularan wabak COVID-19 yang belum pasti kesudahannya.

“ADN dilantik tentunya akan dipilih dalam kalangan mereka yang berkaliber dan berkemahiran tertentu untuk berganding bahu bersama wakil rakyat sedia ada untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat di negeri ini,” jelasnya.

Jelasnya lagi lima ADN dilantik itu juga boleh dilantik dalam kalangan wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat Orang Asli, kaum Sikh, India, Cina.

“Selepas ini mungkin kita akan ada wakil rakyat yang mewakili semua kaum di DUN Pahang. Namun, ketika dibentangkan, wakil rakyat DAP mempersoalkan sama ada ADN dilantik ini boleh mengundi atau tidak? Tentunya mereka boleh mengundi. Pemilihan mereka dibuat selepas dipersetujui secara majoriti oleh wakil rakyat yang mewakili rakyat di negeri ini.

“Apa yang cukup penting adalah, tindakan sebegini (melantik ADN dilantik) dapat mengelakkan tindakan lompat parti dari wakil rakyat. Lompat parti bukan satu perkara baharu dalam politik Malaysia. Di sebalik keghairahan wakil rakyat melompat parti, budaya ini telah menimbulkan kekecewaan rakyat dan rasa dikhianati selepas mereka memberikan mandat melalui pilihan raya.

“Setelah beberapa dekad politik Malaysia berkembang, penyakit lompat parti ini masih lagi tiada ‘penawar’. Jadi saya berpendapat cara sebegini adalah penawar yang terbaik. Jadi, jika ada wakil rakyat yang hendak melompat parti, mereka pastinya akan berfikir untuk berbuat demikian kerana pasti perbuatan mereka tidak akan memberikan kesan kepada kerajaan memerintah sekali gus menghindarkan budaya lompat parti,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.