Kerajaan Perak Dipohon Batalkan Pembangunan Hutan Yang Dilulus Zaman PH

IPOH, 20 Nov – Kerajaan Perak dipohon batalkan pembangunan hutan di kawasan seluas 400 hektar berhampiran Mukim Temelong di Kota Tampan Lenggong dan menukarkannya ke kawasan luar daripada Lenggong.

Demikian tegas Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berhubung isu terbabit.

Katanya, beliau memahami keperluan pembangunan, namun kepentingan memelihara dan menjaga hutan sebagai khazanah bernilai tinggi perlu diberikan keutamaan apatah lagi khazanah ini mesti dipelihara dan pencemaran serta kemusnahan alam perlu dielakkan.

“Lenggong kawasan parlimen yang saya wakili. Ia kaya dengan keindahan alam semulajadi yang menjadi tarikan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Berpotensi besar disektor pelancongan apatah lagi ia Tapak Warisan Dunia UNESCO. Malah 2021 akan diktiraf Geopark Kebangsaan dan akan dicalonkan Lenggong Global Geopark 2023.

“Justeru ianya lebih bernilai daripada pembalakan dan boleh menjana pendapatan kepada Negeri Perak. Saya fikir Kerajaan Perak perlu menghentikan sebarang aktiviti pembalakan di keseluruhan Daerah Kecil Lenggong.
“Adalah lebih besar keuntungannya jika sektor pelancongan dibangunkan dengan hutan sebagai eset utamanya,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Jelasnya, pembangunan ini difahamkan diluluskan pada 8 Januari 2019 sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak.

“Saya mengetahui tiga buah kampong iaitu Kampong Luat, Kampong Chepor dan Kampong Beng Lenggong akan menerima kesan jika ini dilakukan,” katanya

Jelas beliau, pencemaran sungai yang menjadi kawasan tadahan air luarbandar penduduk akan terjejas, keindahan beberapa air terjun disini bakal tercemar, pelbagai projek termasuk puluhan kolam ternakan udang galah bernilai jutaan ringgit yang dibangunkan sebelum ini bakal terjejas selain turut akan menjejaskan kegiatan ekonomi penduduk.

“Saya mengetahui ada pimpinan kampung yang menyokong, dan ianya adalah daripada pimpinan kampung sewaktu kerajaan PH memerintah. Realitinya penduduk kampung membantah. Saya tahu mereka membantah kerana bantahan itu sampai kepada saya selaku Ahli Parlimen Lenggong.
“Saya dimarahi penduduk yang mengundi saya kerana pembalakan dikawasan ini. Ia tidak memberi kebaikan kepada mereka. Kuasa meluluskan kawasan pembalakan adalah kuasa kerajaan negeri.”

Namun katanya, kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak maka mohon mengambil tindakan sepatutnya.

“Saya ahli parlimen mereka dan wajib saya menjaga kepentingan mereka, malah saya ingin nyatakan di sini bahawa Kampung Luat Lenggong adalah kampung saya sendiri,” katanya lagi. – UMNO Online