258,951.88 Hektar Kawasan Tadahan Air Diwartakan – MB Pahang

KUANTAN, 20 Nov – Jumlah kawasan yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air di Pahang setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang yang setakat ini, 57 peratus melebihi keluasan tanah di negeri terus berada di tahap tinggi.

“Namun, bagi mewartakan sesuatu kawasan ia bukan mengambil masa yang singkat, sebaliknya memerlukan kajian teliti… tetapi kerajaan akan mempertingkatkan usaha menambah kawasan hutan simpan di Pahang dan terbaru ialah kawasan Lubuk Yu, di Maran,” kata Wan Rosdy pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy menjawab soalan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (PAS-Tahan), yang ingin tahu jumlah kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak memaklumkan, mereka yang memperoleh lesen pendudukan sementara (TOL) di Pahang sedia maklum bahawa, kelulusan itu boleh ditamatkan pada bila-bila masa.

“Apabila TOL diluluskan, mereka diberitahu bahawa tiada binaan atau tanaman kekal yang dibenarkan di tanah tersebut, kerana kerajaan negeri berhak menamatkan TOL jika ada keperluan untuk mengambil semula tanah yang diberikan,” katanya.

Mohd Soffi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Tras) yang ingin tahu jika pampasan akan diberikan kepada beberapa pekebun durian Musang King, yang didakwa ditamatkan TOL bagi membina kilang pemprosesan durian di Tras, Raub kira-kira 170 kilometer dari sini.

Chow juga bertanya jika kilang yang dibangunkan oleh Royal Pahang Durian Resources-Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (RPDR-PKPP) melibatkan kawasan seluas 10.52 hektar, telah memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Mohd Soffi berkata penyediaan laporan EIA tidak diperlukan dalam pembinaan kilang tersebut, kerana kawasannya kurang daripada keluasan yang diwajibkan penyediaan laporan EIA selain Majlis Daerah Raub telah meluluskan kebenaran merancang (KM) pada 7 Ogos lepas selepas pihak terlibat memenuhi aspek teknikal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.