Zahid Tegaskan Dalam Politik Harus Ada Kejujuran, Tipu Muslihat Hendaklah Diketepikan

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Dalam politik harus ada kejujuran, baik sebagai rakan kongsi atau atas nama dukungan sama ada secara piagam atau perjanjian persefahaman, bertulis atau konvensyen dan secara tersurat dan tersirat.

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi perbahasan Bajet 2021 yang berlangsung menerusi persidangan Dewan Rakyat, di Parlimen, hari ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), penterjemahan terhadap kejujuran bukan hanya sekadar persetujuan lisan tetapi pelaksanaannya.

“Tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau siapa yang terhutang budi tetapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan. Soal tipu muslihat politik hendaklah diketepikan apabila kejujuran politik diberikan keutamaan dan jangan ada telunjuk lurus kelingking berkait.

“Jadikan seperti air dalam pembentung, biarpun airnya berkocak namun airnya tidak tumpah keluar jika penutupnya adalah kejujuran.”

Dalam hal ini, beliau menyorot Kejatuhan empayar-empayar terdahulu apabila pemimpin-pemimpinnya yang merasakan dirinya popular melupakan soal-soal pokok dan mengutama isu-isu furuq.

“Kita ambil ibrah agar Perjanjian Tahkim antara Muawiyah dan Abu Musa As-Shaari tidak berlaku antara rakan-rakan kongsi politik.

“Ikhlas dan jujurlah kerana rakyat yang mengharap sesuatu yang terbaik untuk mereka dan mesti diberi keutamaan. Dewan yang mulia ini merupakan pentas terbaik untuk negara ini berada dalam situasi politik yang stabil.

“Sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya, ianya hendak diuji di dewan yang mulia ini. Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan.”

Tegasnya lagi, biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan untuk diutamakan dan menjadi usul undi percaya dibawa ke Dewan Rakyat.

“Proklamasi darurat bukan pilihan malah Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-raja telah pun menolak. Apatah lagi percubaan untuk mencadangkan proklamasi darurat dalam apa bentuk sekalipun.

“Jika ini tidak dapat dilakukan maka ianya hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera yang mungkin. Suara rakyat adalah suara keramat kerana dari rakyat kita diberi mandat maka kepada rakyat juga kita serahkan mandat.

Sebelum itu, beliau melontarkan pandangan terhadap Bajet 2021 dengan hasrat untuk mencadangkan penambahbaikkan dan saranan-saranan agar turut melibatkan kumpulan-kumpulan yang tidak mendapat faedah terus melalui belanjawan terbabit.

“Bajet 2021 merupakan bajet pertama selepas kejatuhan kerajaan lalu. Bajet ini merupakan penghujung kepada RMK-11kerana selepas ini negara akan dihidangkan pula dengan RMK-12. Tentunya selepas ini suatu rancangan ekonomi jangka sederhana untuk tempoh lima tahun mendatang akan turut diperbahaskan di dewan ini.”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyentuh berkaitan keluarbiasaan yang sedang dihadapi sekarang.

“Saya pernah menyarankan ‘political ceasefire’ (gencatan politik) dan ‘national reconciliation’ untuk negara terus mara ke hadapan bagi memulihkan sebarang kerapuhan ekonomi dan politik demi memberi keutamaan kepada rakyat.

“Saya tentunya turut menghargai YAB Perdana Menteri yang menerima titah KDYMM Yang diPertuan Agong dan Majlis Raja-raja tanpa tindakan melaksanakan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Saya tidak boleh menyembunyikan rasa kesal, sekiranya kerajaan berjaya melaksanakan perkara itu dalam menghadapi situasi politik, ekonomi dan pandemik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.