Keputusan Polisi DBKL Berkaitan Penjualan Alkohol Di Kuala Lumpur Disambut Baik – Nizham

KUALA LUMPUR, 19 Nov- Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan memberi sokongan penuh terhadap isu penjualan alkohol yang dicadangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata garis panduan baru Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan dan penggunaan alkohol di Kuala Lumpur juga merupakan langkah tepat dalam waktu ini oleh kerajaan.

Ini kerana katanya, penyalahgunaan alkohol membawa kepada peningkatan bahaya sosial dan selalunya ia melibatkan kemalangan kenderaan, keganasan rumah tangga dan juga gangguan sosial.

“Bagaimana kita akan menguruskan masalah ini jika kita tidak membuat dasar untuk mencegah masalah alkohol? Sekali lagi, Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan percaya bahawa langkah pencegahan dan panduan baru DBKL adalah langkah pertama yang baik dan perlu diteruskan.

“Kami menyokong keputusan dasar ini. Sesi libat urus yang berterusan perlu dilakukan agar masyarakat dan pemilik perniagaan dapat memahami kewajaran dasar ini. Polisi ini diharapkan bukan sahaja dapat mencegah lebih banyak kes pemandu mabuk tetapi juga dapat mengurangkan masalah keganasan rumah tangga akibat pengambilan alkohol.

“Kami juga menyedari tindak balas Ahli Parlimen Dap terhadap keputusan dasar ini. Sudah tentu keputusan polisi DBKL ini akan memberikan kesan kepada pemain industri, tetapi kita ada masalah yang lebih besar untuk ditangani di sini. Semua pihak yang berkepentingan dalam industri alkohol harus bertanggungjawab dalam masalah alkohol,” katanya. 

Dalam hal ini ujarnya, tidak ada yang hanya boleh menutup mata dan menjana wang dari industri ini.

“Kami ingin mendengar jalan keluar dan cadangan dasar alternatif, tetapi sayangnya… bagi beberapa Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, apa yang mereka lakukan hanyalah mengeluh dan membangkang. Anda tidak perlu menjadi Ahli Parlimen untuk melakukannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Nizham, dasar baru ini tidak menghentikan hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, yang dikawal adalah penjualan alkohol agar rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab semasa mengambil alkohol.

“Kita yakin dasar DBKL baru ini akan menjadi langkah permulaan yang baik untuk menguruskan penggunaan alkohol. Mungkin, undang-undang baru juga harus diperkenalkan dalam industri ini.

“Kerajaan juga harus melihat akan keperluan untuk semua pemain industri terutama penjual lebih bertanggungjawab terhadap pelanggan mereka,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, pengusaha bar harus memastikan bahawa pelanggan mereka tidak di dalam keadaan mabuk sebelum mereka memandu.

“Jika pelanggan mereka mabuk, pengusaha bar harus memastikan pelanggan mereka ymenggunakan perkhidmatanke teksi atau e-hailing dan tidak memandu,” jelas Nizham lagi.

Justeru, tambah Nidzham, kegagalan untuk melakukannya akan membolehkan pihak berkuasa juga mengenakan tindakan kepada pemilik perniagaan dan inilah yang dipanggil tanggungjawab bersama.

“Saya yakin pendekatan ini perlu dibincangkan dan diterokai dengan lebih lanjut. Akhirnya… perkara yang paling penting untuk kita lakukan ialah menyedari bahawa masalahnya adalah masalah yang runcing. Langkah-langkah reaktif tidak mencukupi, dan kita memerlukan lebih banyak langkah pencegahan terutama melibatkan keputusan dasar.

“Kami juga percaya bahawa DBKL bersifat terbuka untuk perbincangan dan dialog lebih banyak untuk membincangkan bagaimana bersama-sama kita dapat mewujudkannya dalam menguruskan masalah alkohol di Kuala Lumpur.

“Penglibatan pihak berkepentingan adalah kunci dalam membuat keputusan dasar dan saya harap kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang dapat mengusahakan dasar ini dan menjadikannya kenyataan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.