Idea Cetek Dibidas, ‘Cetak Wang Kertas’ Tidak Selari Pelaksanaan Polisi Fiskal Bantu Rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Baru-baru ini Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan idea ‘cetak wang kertas’ oleh Bank Negara Malaysia untuk menambahkan duit poket secara pukal kepada rakyat telah menimbulkan sedikit ‘kegemparan’ kepada umum.

Sehubungan itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit membidas idea penyelesaian ekonomi tersebut yang dilihat agak cetek.

“Pertama, saya melihat perumpamaan untuk Bank Pusat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mencetak wang hanya terpakai dalam situasi ketika Bank Pusat ingin mengurangkan sesuatu nilai matawang yang masih bersandarkan kepada emas (seperti zaman Perang Dunia Pertama 1914-1918) atau terikat kepada sebarang komoditi yang lain.

“Kedua, Bank Pusat yang ingin melaksanakan kaedah mencetak wang ini juga bertujuan menurunkan nilai sesuatu mata wang itu dalam mekanisme kadar pertukaran tetap yang mana kaedah ini hanya relevan ketika era perjanjian Bretton Woods masih dilaksanakan (1944-1971),” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.

Sebelum itu Wan Ahmad Fayhsal telah mengutakan idea untuk membuat penghapusan hutang (debt jubilee) kepada golongan M40 dan B40 juga tidak kurang menimbulkan kontroversi sama.

Jelas Azril Rizal Yusof yang juga Ketua Pemuda UMNO Temerloh, dengan melihat situasi semasa pelaksanaan sistem monetari moden hari ini, kedua-dua kaedah yang dinyatakan tidak lagi terpakai kerana BNM bukan berfungsi dalam sistem kewangan yang lapuk seperti yang mungkin difikirkan oleh Senator Wan Ahmad Fayhsal.

“Sebaliknya tindakan Bank Pusat seperti BNM hari ini yang menggunakan kaedah apungan bebas (free floating) atau apungan terurus (manage float) mata wang fiat di mana jika BNM diarahkan untuk membeli bon-bon kerajaan secara langsung, atau pun melaksanakan Pelonggaran Kuantitatif (Quantitive Easing), tetaplah dua mekanisme polisi monetari ini tidak melibatkan apa-apa aktiviti yang boleh dikelaskan sebagai mencetak wang sama ada secara cetak (printing) atau pun wang elektronik.

“Jelas di sini, tidak ada mekanisme yang wujud untuk BNM memindahkan wang secara pukal ke dalam poket rakyat mahu pun ke dalam akaun rakyat di bank-bank komersil begitu sahaja seperti yang difahami Senator Wan Ahmad Fahysal sebaliknya BNM hanya mampu mewujudkan rizab dalam ‘reserve account’ yang mana pada akhirnya rizab ini juga tidak pernah keluar daripada kunci kira-kira Bank Pusat seperti BNM.

“Justeru, saya selaku Exco Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pemuda UMNO Malaysia melihat beberapa cadangan lain yang lebih praktikal dan realistik berbanding idea ‘cetak wang kertas’ untuk membantu rakyat dalam usaha pemulihan pasca COVID-19.”

Antaranya beliau mengalu-alukan kerajaan untuk berusaha meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar (Gross Fixed Capital Formation) untuk pelaburan jangka panjang ekonomi negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, Pembentukan Modal Tetap Kasar ini telah terjejas teruk bermula pada suku pertama 2019 di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) yang mana Senator Wan Ahmad Fayhsal juga adalah sebahagian daripada kerajaan PH ketika itu.

“Kemerosotan Pembentukan Modal Tetap Kasar seperti yang dapat dilihat dalam data ekonomi suku ketiga tahun ini telah menggusarkan ramai pakar ekonomi kerana kemerosotan Pembentukan Modal Tetap Kasar ini merupakan petunjuk utama kesihatan ekonomi negara secara jangka panjang.

“Sebaiknya kerajaan harus kembali meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar termasuk tidak takut untuk berbelanja secara defisit dalam keadaan genting ini agar kita dapat meningkatkan produktiviti negara untuk pelaburan jangka panjang termasuk membina infrastruktur awam, pertambahan hospital, sekolah juga pertambahan bilangan doktor dan guru.”

Ini kerana katanya, pembinaan infrastruktur awam akan meningkatkan Pembentukan Modal Tetap Kasar negara yang dapat membantu meningkatkan kapasiti produktif dalam negara manakala sistem kesihatan dan pendidikan yang baik pula akan dapat meningkatkan potensi sumber daya negara dalam bentuk modal insan sebagai pelaburan jangka panjang negara.

“Peningkatan belanjawan untuk pelaburan dalam Pembentukan Modal Tetap Kasar walaupun dalam keadaan defisit oleh kerajaan akhirnya dapat membantu meningkatkan kapasiti produktif negara yang akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Hal ini penting kerana dalam keadaan pasaran (market) tidak dapat menyelesaikan masalah pengangguran, maka kerajaan hendaklah mengambil langkah proaktif melaksanakan pelan pelan ekonomi supaya dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat terbanyak.

“Selain kaedah ini dapat meningkatkan produktiviti guna tenaga kerja yang seterusnya mengurangkan tingkat pengangguran, ia juga dapat meningkatkan potensi produktiviti dan kapasiti pengeluaran dalam ekonomi negara (domestik) pada masa akan datang.”

Akhirnya jelas beliau, peningkatan kapasiti pengeluaran negara akan dapat mengelakkan risiko inflasi yang tidak terkawal daripada berlaku walaupun kerajaan telah berbelanja secara defisit dalam jumlah yang besar untuk memulihkan ekonomi.

“Hal ini berlaku kerana pengeluaran barangan dan perkhidmatan (goods and services) akan dapat ditingkatkan selaras dengan peningkatan permintaan dalam ekonomi, sekaligus tidak memerlukan penyelesaian ‘cetak wang kertas’ atau ‘helicopter money’ seperti cadangan Senator Wan Ahmad Fayhsal yang tidak selari dengan idea pelaksanaan polisi-polisi fiskal yang lebih membantu rakyat secara langsung,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.