YWP Kaji Tindakan Undang-undang Terhadap Pengerusi PAC

KUALA LUMPUR, 18 Nov – YAYASAN Wilayah Persekutuan (YWP) sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berhubung kenyataan yang tidak benar dikeluarkan beliau.

Ketua Pegawai Undang-undang YWP, Mohd Fadzil Ab Hamid berkata, pihaknya sedang melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan perundangan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Dap Ipoh Timur itu.

Dakwaan YWP terlibat dalam urusniaga meragukan yang melibatkan 97 tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijual kepada syarikat swasta adalah tidak benar.

Walaubagaimanapun YWP pernah membeli dua bidang tanah daripada DBKL pada harga pasaran semasa, tanpa sebarang pengurangan.

Mohd Fadzil Ab Hamid berkata, pembelian itu bertujuan menjana pendapatan bagi menampung program-program kebajikan warga Kuala Lumpur yang berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan.

Mengulas dakwaan bahawa YWP dipengaruhi kuasa politik, jelas Mohd Fadzil, YWP adalah syarikat berstatus ‘Syarikat Berhad Menurut Jaminan’, Tanpa Modal Saham yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965, pada 9 April 1986.

“Segala keuntungan yang diperoleh melalui urusan perniagaannya juga tidak boleh diberikan sebarang pulangannya kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) YWP. Ia bertujuan menjamin integriti ALPA dari sebarang kepentingan politik atau peribadi dalam YWP.

“Artikel 8 juga menyatakan bahawa sekiranya terdapat lebihan harta setelah penamatan YWP dilaksanakan, ia tidak boleh diagihkan dalam kalangan ALPA, sebaliknya perlu diberi kepada institusi yang mempunyai objektif yang sama dengan YWP atau mana-mana badan kebajikan yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” tegas beliau.

Dalam pada itu, jelas Mohd Fadzil, dakwaan tidak dipantau oleh sebarang pihak berkuasa adalah tidak benar kerana YWP dijaga oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang wajib mempengerusikan YWP selaras objektif penubuhannya iaitu menjaga kebajikan rakyat.

Malah tegasnya, adalah tidak wajar apabila PAC menyatakan bahawa kedudukan menteri selaku Pengerusi YWP menimbulkan ‘kepentingan peribadi’ kerana beliau dan ALPA tidak menerima sebarang pendapatan mahupun dividen daripada hasil YWP.

“Untuk pengetahuan umum, tanggungjawab pengerusi adalah mencari dana dan menjamin YWP melaksanakan tujuan penubuhannya untuk rakyat.

“Mengenai pelantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur dan ALPA pula, ia tidak berlaku secara automatik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak YWP ditubuhkan pada 1986, ia bertujuan membantu meningkatkan kualiti kehidupan orang miskin di Wilayah Persekutuan dengan memberi capaian kepada bantuan kewangan dan perkhidmatan asas yang berkaitan dengan kebajikan, kesihatan dan Pendidikan.

“Perkhidmatan dan gerakerja YWP adalah tertumpu kepada lima kluster utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Sosial, Agama dan Teknologi (P.E.S.A.T).

“Malah YWP tertakluk kepada Audit Tahunan yang ditetapkan melalui Akta Syarikat 1965, Seksyen 167 (menyimpan sebarang penyata akaun yang mengandungi rekod hasil, perbelanjaan dan transaksi perniagaan dengan teratur dan baik),” tegas beliau.

Tambahnya, untuk tahun 2018-2019 sahaja, lebih 121,000 orang warga Wilayah Persekutuan telah mendapat manfaat berbentuk bantuan dan sumbangan bernilai dengan jumlah keseluruhan RM28 juta yang dijana daripada perniagaan-perniagaan yang diceburi YWP. – WILAYAHKU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.