Pembinaan Jambatan Labuan-Sabah Secara PFI – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Kerajaan bersetuju pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata kementeriannya dan Kementerian Kerja Raya dalam proses memuktamadkan terma-terma rujukan untuk melaksanakan proses Permohonan Cadangan (RFP) yang dijangka dapat dikemukakan kepada syarikat berminat sebelum penghujung tahun ini.

“Kemudian, kira-kira enam hingga lapan bulan digunakan untuk menyiapkan dokumen RFP secara terperinci bagi membolehkan pembidaan dilakukan.

“Menjelang September tahun depan pembidaan akan dibuat penilaian dan dijangkakan pada Oktober kita dapat memuktamadkan kaedah mana yang akan dipakai dan syarikat mana diberi peluang untuk membina jambatan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) sama ada pembiayaian pembinaan jambatan Labuan-Sabah akan ditanggung kerajaan atau secara PFI.

Menurut Annuar, kerajaan memutuskan untuk menggunakan kaedah PFI bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan sempurna dan telus melalui bidaan bersaing menerusi RFP.

Pelaksanaan projek kerjasama awam-swasta itu dapat memajukan ekonomi melalui pelaburan swasta, di samping mengurangkan beban kerajaan dan memastikan pelaksanaan memberikan nilai faedah terbaik kepada kerajaan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.