Lim Kit Siang, Dap Dan Fitnah… Berpisah Tiada, Bidas Dr Puad

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tegas dengan pendiriannya bahawa penubuhan balik JASA wajar dan jangan apologatik manakala peruntukan 2021 sebanyak RM85.5 juta mesti dibahas semula kewajarannya.

Pokoknya bidas Dr Puad, Lim Kit Siang dan Dap bermain politik dengan fitnah bagi menjawab kenyataan media Penasihat Dap itu yang bertarikh 15 Nov lalu.

“Sebab itu kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Dap mampu bertahan 22 bulan sahaja. Tidak pernah berlaku dalam sejarah. Berjanji tidak ditunaikan. Anak kesayangannya adalah Menteri Kewangan paling gagal. Termasuk beberapa Menteri Dap yang lain.

“Letak titik perpuluhan pun tidak tahu. Guan Eng juga menipu Parlimen. Dia tuduh duit ‘refund’ (bayaran balik) GST (Cukai Barangan dan Perkhidmata) dicuri oleh BN (Barisan Nasional). Tetapi siasatan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) di zaman PH menafikannya,” jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu.

Bidas Dr Puad lagi, kini Kit Siang mahu menyucikan dosa Dap yang menutup JASA sehingga 782 orang kehilangan pekerjaan sehingga ada yang diisytiharkan bankrap dan gagal mencari kerja hingga ke hari ini.

“Lim Kit Siang juga berbohong kononnya gaji saya lebih besar daripada gaji menteri. Sudah lama saya jelaskan bahawa lantikan saya adalah ‘Contract for Service’ (kontrak mengikut perkhidmatan). Justeru gaji dibayar secara ‘lump sum’ (sekaligus).

“Saya tidak ada elaun rumah, keraian, perjalanan, pembantu rumah dan lain lain. ‘Lump sum’ itu pun tidak melebihi RM20K (20 ribu).

“Jangan bandingkan elaun ‘lump sum’ saya dengan gaji ‘asas’ menteri. Campur semua elaun lain sudah tentu dua kali ganda daripada apa yang saya terima. Apakah gaji Guan Eng kurang dari RM20K?,’ soalnya lagi.

Ulas Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu, menurut Kit Siang, ada JASA pun tidak guna kerana BN kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dia lupa fitnah dahsyat Dap-PH menyebabkan mereka menang. Ditambah dengan janji kosong PH-Dap.

“Buktinya bila rakyat sedar penipuan Dap, maka pertama kali dalam sejarah, UMNO berjaya mengalahkan Dap di PRK (Pilihan Raya Kecil) Cameron Highlands dengan majoriti yang besar.

“Tidak pernah UMNO-Dap berlawan. Biasanya Dap lawan MCA atau Gerakan. Di Cameron Highlands Dap kalah di tangan UMNO. Hatta kerajaan boneka Dap tumbang selepas 22 bulan berkuasa,” ujarnya.

Justeru katanya, mengaitkan JASA dengan kekalahan BN hanya alasan bagi dosa Dap menutup JASA.

“Kalau begitu kenapa tidak tutup JAPEN (Jabatan Penerangan), MKN (Majlis Keselamatan), KEMAS, RTM dan BERNAMA,” tegasnya.

Seperkara lagi soal Dr Puad, mengapa Dap mahu membandingkan bajet setahun JASA 2021 sebanyak RM85.5 Juta dengan RM100 juta untuk empat tahun.

“Fakta itu juga salah. BN kalah Mei 2018. Aktiviti JASA tergantung. Oktober 2018 JASA ditutup. Jumlah sebenar untuk empat tahun itu mungkin sekitar RM80 juta sahaja bukan RM100 juta.

“Sudah tentu RM80 Juta untuk empat tahun itu melibatkan pembayaran elaun staf tetap dan ‘dasar sedia ada’ seperti sewa dan program. Adalah bohong RM80 juta itu untuk program semata-mata.

“Tetapi JASA memang perlu sedikit bajet untuk terus memerangi pembohongan Dap,” tegasnya lagi.

Kerana itulah Dr Puad berpandangan Kit Siang sebenarnya mahu mengalih isu.

“Dap berdosa besar menzalimi rakyat yang dibuang kerja. Syukur, Dap sudah dihukum,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.