Kesusahan Rakyat: Apa Pertimbangan… Simpati Atau Empati – Zahida

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Antara simpati dan empati, mana satu pertimbangan kerajaan ketika rakyat sekarang ini amat terkesan akibat pandemik COVID-19, soal Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Menurut Zahida, dua perkataan tersebut hampir sama tetapi berlainan maksud yang jauh berbeza di dalam menyatakan perasaan terhadap musibah yang menimpa individu.

Katanya, simpati bermaksud rasa sedih terhadap seseorang yang ditimpa sesuatu musibah dan empati pula menjiwai musibah yang menimpa seseorang rakan atau rakyat jelata.

“Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah, bagaimana cara kerajaan hari ini melihat musibah-musibah yang teruk melanda rakyat sekarang. Adakah perasaan simpati atau empati?

“Semua pemimpin dapat menyatakan simpati kepada rakyat yang terlibat tetapi adakah mereka dapat menjiwai kesusahan atau kesedihan yang dirasai rakyat (empati)?

“Ini dapat dilihat didalam tindak tanduk mereka, terutama di dalam Bajet 2021 yang diumum tempoh hari,” tulisnya dalam satu catatan di Facebook.

Ujarnya, kesemua pemimpin menyatakan simpati mereka dan menyediakan pelbagai pakej bantuan, tetapi sayangnya ia tidak diterjemahkan dalam perbuatan dan kata-kata dilontarkan pula menyinggung perasaan rakyat yang terjejas teruk.

“Contohnya bila saudari Veveonah pelajar di pedalaman Sabah menyatakan dan menunjukan kesukaran untuk mengikuti pembelajaran dalam talian, menteri pula memomokkan kononnya beliau ingin mencari publisiti murahan.

“Banyak menteri-menteri lain juga menyatakan simpati terhadap pelajar tersebut, tetapi tidak ramai memberi idea-idea menyelesaikan masalah atau melakukan sesuatu untuk meringankan bebanan yang terpaksa dipikul oleh pelajar tersebut sedangkan mereka berkuasa dan mampu melakukan sesuatu kearah penyelesaian masalah,” katanya.

Terkini pula tambahnya, apabila rakyat dalam kesusahan yang amat teruk ketika mengharungi pandemik sekarang dan mahukan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka, ianyanya cepat ditolak dengan pelbagai alasan.

“Selepas mendapat desakan orang-orang yang berpengaruh, akhirnya ianya dapat juga dilakukan walaupun dengan pelbagai syarat-syarat yang tidak memihak kepada semua pencarum!

“Kerajaan simpati dengan kesusahan rakyat, tetapi tiada empati,” tegasnya.

Justeru katanya, kerajaan harus sedar dengan kesilapan itu dan harus menimbang segala permohonan rakyat dengan penuh empati kerana sekadar simpati tidak mencukupi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.