Kemajuan Pembinaan ECRL Mendahului Sasaran

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) secara keseluruhan buat masa ini mencapai kemajuan lebih daripada sasaran asal, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata hingga 31 Okt lepas, kemajuan sebenar projek mega itu ialah 19.09 peratus berbanding jadual pada 18.3 peratus.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bagi menjawab soalan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang mahu tahu kemajuan terkini projek ECRL.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata bagi seksyen A projek berkenaan, iaitu dari Kota Bharu ke Dungun, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 0.16 peratus mendahului jadual.

Seksyen A yang skim kereta apinya diluluskan 14 Mei lepas, merangkumi pembinaan enam stesen iaitu Kota Bharu, Pasir Putih, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun.

Bagi Seksyen B dari Dungun ke Temerloh, Hasbi berkata sejak pembinaannya bersambung semula Julai tahun lepas, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 5.93 peratus berbanding jadual 4.07 peratus, merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

“Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir telahpun dimulakan. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula di 101 lokasi di sepanjang Seksyen A dan B menjelang penghujung 2020,” katanya.

Bagi Seksyen C pula dari Temerloh ke Pelabuhan Klang, Hasbi berkata kerajaan sedang mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan ECRL memberi impak ekonomi yang maksimum apabila disiapkan kelak dan akan diumumkan apabila kajian itu lengkap.

Menjawab soalan tambahan Leow yang mahu tahu kuota penglibatan kontraktor tempatan dalam projek itu, Hasbi berkata berdasarkan klausa 38.1 perjanjian Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), China Communications Construction Company Ltd perlu berusaha memberikan subkontrak tidak termasuk kerja terowong sebanyak 40 peratus kepada kontraktor tempatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.