Belanjawan M40, Moratorium, Pesawah Dan IPT Jadi Perbahasan Nizar Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Belanjawan untuk golongan M40 antara perkara yang disentuh oleh Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria selain beberapa perkara lain termasuklah soal subsidi dan insentif padi serta moratorium yang menurut beliau perlu diberikan perhatian serta tumpuan oleh kerajaan.

Dalam perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, Mohd Nizar turut menyentuh soal mengenai para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan agar dapat memberikan subsidi data internet kepada para mahasiswa memandangkan mahasiswa terpaksa menjalani pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Menurut beliau pemberian subsidi ini sudah tentu akan membantu mengurangkan beban pelajar yang terpaksa membeli data internet untuk menjalani kelas atas talian dan norma baharu ini pastinya memberi cabaran besar kepada mahasiswa.

‘’Saya juga ingin menyuarakan rasa kebimbangan apabila melihat kelompok M40 yang turut kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID19 ini. Ada individu yang ditamatkan kontrak dan ada juga majikan yang tidak mampu menggajikan golongan M40 ini lalu menamatkan perhidmatan mereka secara paksa.

‘’Saya melihat jumlah M40 yang terkesan ini ramai sebenarnya. Malahan kelompok ini saya percaya sudah beralih menjadi golongan B40 atau lebih teruk daripada itu kerana dibelenggu dengan komitmen hutang yang tinggi. Saya berpandangan bukan senang untuk kelompok M40 ini untuk mencari pekerjaan berdasarkan umur, pengalaman, gaji, serta faktor kesihatan. Pada tempoh sekarang ini juga majikan juga lebih gemar menggajikan pekerja yang boleh dibayar secara sederhana.

‘’Saya menghargai segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan dalam membantu golongan golongan B40 dengan memberikan subsidi serta insentif yang pelbagai. Jadi apa salahnya kelompok M40 juga mendapat pembelaan dan manfaat yang hampir sama dengan B40 terutama M40 yang terjejas teruk atas sebab kehilangan pekerjaan, perniagaan gulung tikar, salah seorang suami atau isteri hilang pekerjaan,’’ ujarnya.

Menyambung perbahasannya, beliau turut memperkatakan soal vaksin COVID-19 yang mana wujud gerakan golongan yang menolak vaksin berkenaan dengan cuba mempengaruhi rakyat untuk menolak vaksin berkenaan.

‘’Saya menghargai usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi mendapatkan akses vaksin COVID-19 antaranya melalui melalui penyertaan ke dalam program COVAX serta menyediakan kos yang besar di dalam Belanjawan 2021 iaitu sebanyak RM3 bilion bagi mendapatkan bekalan vaksin untuk rakyat.

‘’Cuma apa yang menjadi kegusaran saya apabila belumpun lagi vaksin ini diperolehi wujud gerakan golongan anti vaksin yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menolak vaksin yang bakal diperolehi nanti. Hal ini sudah tentu akan mengakibatkan segala usaha kerajaan dalam menghapuskan virus COVID-19 ini tidak akan berkesan.

‘’Apakah keadah yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi membanteras fahaman golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi orang ramai daripada menerima vaksin serta apakah tindakan tegas yang akan dikenakan kepada golongan anti vaksin yang cuba memberikan fahaman yang salah mengenai vaksin.

“Sejauh manakah kementerian akan memastikan status halal vaksin yang akan diterima sebelum ianya diterima oleh kerajaan,’’ tambahnya.

Berkenaan moratorium, Mohd Nizar mencadangkan agar moratorium bukan hanya diberikan kepada golongan B40 tetapi diperluaskan dan diselaraskan kepada golongan M40 serta kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman menerusi Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

‘’Saya memuji Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kerana telah mengumumkan lanjutan pembayaran moratorium yang bakal memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat AIM di seluruh negara berikutan lanjutan PKPB.

‘’Langkah kerajaan melaksanakan moratorium secara automatik sebelum ini dilihat sebagai langkah yang tepat berkesan dalam mengimbangi aliran tunai kewangan individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19 ini,’’ katanya.

Dalam soal subsidi dan insentif padi pula, beliau berkata pihaknya mendapat rungutan daripada para pesawah yang menyatakan bekalan benih padi subsidi tidak mencukupi malah ada juga pesawah yang berhadapan dengan situasi kelewatan penerimaan bekalan benih padi.

Situasi tersebut katanya akan memungkinkan berlakunya eksploitasi harga benih padi oleh peniaga yang mengambil kesempatan menjual benih padi pada harga mahal kerana petani terpaksa membeli benih padi selepas petak tanaman telah sedia untuk disemai atau ditabur benih.

‘’Apakah tindakan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi membanteras eksploitasi harga benih padi oleh pihak tertentu serta apakah terdapat sebarang usaha oleh pihak kementerian untuk meletakkan harga siling benih padi di pasaran supaya harga benih padi dapat diselaraskan,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas