Perjanjian Penstrukturan Semula Air Dijangka Dimeterai Disember Ini – Wan Rosdy

KUANTAN, 17 Nov – Perjanjian penstrukturan semula bekalan air yang melibatkan kerajaan negeri Pahang, kerajaan persekutuan, Pengurusan Air Pahang (PAIP) serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dijangka dapat ditandatangani Disember ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata isu itu melibatkan tiga perjanjian iaitu perjanjian utama, perjanjian pajakan dan perjanjian kemudahan yang kesemuanya dalam fasa akhir untuk dimuktamadkan.

“Perjanjian utama melibatkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Pahang, PAIP dan PAAB, manakala perjanjian pajakan dan perjanjian kemudahan akan melibatkan PAAB dan PAIP.

“Kerajaan persekutuan dijangka membentangkan draf perjanjian-perjanjian ini untuk mendapat kelulusan dalam mesyuarat jemaah menteri dan kerajaan negeri hanya menunggu tarikh untuk menandatangani perjanjian-perjanjian ini yang dijangka diadakan sebelum 31 Dis nanti,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan Leong Yu Man (PH-Triang) yang ingin tahu perkembangan terkini mengenai penstrukturan semula air di Pahang.

Beliau turut memaklumkan empat loji rawatan air (LRA) di negeri itu telah dinaik taraf dalam tempoh 2018 hingga tahun ini, membabitkan peruntukan berjumlah RM511 juta.

LRA terbabit ialah LRA Jelai di Lipis dengan kos sebanyak RM20 juta; LRA Karak, Bentong (RM40 juta), LRA Semambu Fasa 3, Kuantan (RM446 juta) serta membaik pulih cerun dan kerja-kerja berkaitan di LRA Kechau, Lipis (RM5 juta).

“Manfaat daripada kerja-kerja naik taraf ini dapat menyelesaikan masalah bekalan air kepada penduduk setempat,” katanya ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) yang ingin tahu loji air yang telah dinaik taraf selain peruntukan yang telah diluluskan. –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.