Pelan Transformasi Mineral Bakal Beri Impak Besar Kepada Negara – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kementeriannya sedang merangka cadangan pelan transformasi industri mineral negara berdasarkan potensi yang ada di dalam sektor berkenaan cukup besar yang boleh menjana pendapatan kepada negara dan rakyat.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan di Dewan Rakyat, beliau menjelaskan industri mineral negara cukup berpotensi untuk dibangunkan secara holistik dan dengan anggaran semasa keseluruhan nilai rezab sumber mineral berjumlah  RM4.11 trilion ianya satu jumlah yang cukup besar.

‘’Melihat kepada potensi besar daripada hasil bumi negara dan seperti yang disebutkan RM4.11 trilion adalah satu jumlah yang cukup besar dan kajian sedang dilakukan dan kita berkeyakinan bahawa kajian yang lebih spesifik serta lebih teliti tentunya membolehkan kita mengesan lebih besar nilai daripada ini.

‘’Untuk itu beberapa perkara yang penting terutama mineral bukan radioaktif dan memenuhi standard serta dasar-dasar negara akan hanya diberi tumpuan. Bagi memastikan industri sektor mineral dapat dibangunkan secara holistik dan memberi pulangan pada masa panjang, kementerian sepertimana yang disebutkan tadi sedang merangka cadangan pelan transformasi industri mineral negara yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.

‘’Ini merupakan satu inisiatif  bagi merancak semula industri mineral dengan perancangan yang dicadangkan dalam tempoh 10 tahun. Pelan transformasi ini akan dipacu dengan matlamat dan sasaran yang lebih jelas serta dibangunkan melalui pengukuhan teras utama yang merangkumi aspek tadbir urus, berkesan, holistik, pembangunan industri, pembangunan data maklumat serta kemajuan teknologi  dan inovasi,’’ katanya pada sesi soalan lisan.

Ahmad Maslan dalam soalan tambahan berkata RM4.11 trilion yang disebutkan oleh menteri merupakan satu angka yang cukup besar dan ketika negara pada tahun ini kekurangan hasil RM42 bilion, manakala tahun depan negara terpaksa berhutang RM85 bilion sedangkan negara mempunyai  RM4.11 trilion hasil bumi.

‘’Saya nak tanya daripada jumlah berkenaan apakah halangan-halangan untuk kita menghasilkannya. Contoh macam nadir bumi tanpa radioaktif, bauksit tanpa pencemaran alam hutan yang berkekalan, apakah kementerian mempunyai perancangan untuk membangunkan industri mineral negara ini sebagai  industri utama bukan industri sampingan di negara kita,’’ ujarnya.

Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong seterusnya menambah pihaknya juga akan memastikan sasaran yang ditetapkan sepanjang 2020-2030 berjaya dicapai mengikut garis masa yang dirancang dan ini merupakan salah satu inisiatif dalam mempastikan proses pembangunan industri mineral dapat dilaksanakan secara sistematik.

Pada masa yang sama tambahnya lagi usaha untuk membangunkan industri mineral  boleh diteruskan pada fasa-fasa untuk pembangunan dan ianya tidak tertumpu kepada penjualan berbentuk ‘RAW’ tetapi lebih kepada ‘downside’ industri bagi membolehkan kewujudan peluang-peluang pekerjaan dan rantaian ekonomi lain.

‘’Pembangunan industri mineral tidak tertumpu kepada aktiviti perlombongan huluan semata-mata tetapi lebih tertumpu kepada hiliran dengan mewujudkan industri-industri yang berkaitan malahan ia akan berkembang luas sehingga ke aktiviti pemprosesan, penghasilan produk berasaskan nilai-nilai mineral dan sepanjang pelaksanaan pelan transformasi industri mineral, kementerian akan memaklumkan pelaksanaan perjalanan transformasi ini melalui laporan kemajuan tahunan dan insya-Allah ia akan beri impak besar kepada negara,’’ ujarnya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Ahmad Maslan, Shamsul menjelaskan pada masa ini terdapat tiga kategori mineral utama yang terdapat dalam negara dan dilombong secara komersil iaitu mineral logam, mineral bukan logam serta mineral tenaga dan anggaran keseluruhan nilai rezab sumber mineral negara ialah RM4.11 trilion.

‘’Berdasarkan kajian tinjauan yang telah dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, negara memilik potensi sumber REE untuk dibangunkan yang mencecah sehingga USD182 bilion iaitu bersamaan RM747.2 bilion. Walaubagaimanapun kajian yang akan dilaksana adalah tertumpu kepada REE bukan radioaktif.

‘’Selain REE, bauksit juga merupakan mineral yang masih mempunyai potensi untuk dibangunkan dan mengikut rekod JMG kira-kira 181.5 juta tan metrik sumber bauksit  yang bernilai kira-kira RM20.3 bilion masih berpotensi untuk dibangunkan dan pada masa ini pembangunan bauksit hanya aktif di Johor dan Pahang dan kerajaan juga telah membangunkan SOP aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit yang telah digunapakai di Pahang serta Terengganu.

‘’Berdasarkan sumber hasil hutan ianya diusahakan berdasarkan prinsip pengurusan hutan secara berkekalan termasuk menetapkan catuan tebangan lima tahun dan ini bagi memastikan sektor ini dapat terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi pada masa yang sama kawasan hutan masih terus dikekalkan,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.