PdP Perlu Disantuni Secara Menyeluruh – Noraini

PUTRAJAYA, 17 Nov – Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu didakap warga institut pengajian tinggi (IPT) di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Mahu atau tidak, PdP secara dalam talian merupakan antara norma baharu yang perlu kita santuni secara menyeluruh,” katanya yang menyatakan PdP menjadi faktor penting kepada kejayaan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilancarkannya secara dalam talian hari ini.

Noraini dalam ucapannya sempena kempen itu turut mengingatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya tegas memastikan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipatuhi bagi membendung penularan COVID-19.

Aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai dan menyukarkan kawalan keadaan pada satu-satu masa perlu dielakkan, selain pihak pentabdiran IPT harus memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada dalam ruang rapat dan tertutup dalam tempoh yang lama, katanya.

Beliau berkata warga pengajian tinggi termasuk pelajar hendaklah memanfaatkan sepenuhnya aplikasi MySejahtera bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau dan menjejaki kontak rapat sekiranya terdapat kes indeks direkodkan, katanya.

Malaysia kini berhadapan gelombang ketiga COVID-19 dengan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 mencecah 48,520 kes setakat 12 tengah hari Isnin (16 Nov) dan 1,103 kes baharu dilaporkan semalam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.