Lebih 8,000 Individu Cuba Ceroboh Sempadan Negara Ditahan Sejak 1 Mei – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ops Benteng yang dijalankan bagi mengawal ketat sempadan negara berjaya menahan seramai 8,427 pendatang tanpa izin, 789 tekong dan 351 penyeludup bagi tempoh 1 Mei hingga semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya dalam tempoh itu juga sebanyak 227 bot serta 922 kenderaan darat dirampas menerusi operasi bersepadu tersebut yang turut bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan COVID-19 di negara ini.

“Semalam Operasi Benteng telah berjaya menahan 51 pendatang tanpa izin, dua penyeludup serta merampas tiga bot/kapal dan tiga kenderaan darat.

“Sebanyak 274 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam, melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (210), Polis Diraja Malaysia (54) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (10),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini.

Turut terlibat dalam Ops Benteng ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 517 individu lagi ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam.

Daripada jumlah itu, 467 individu dikompaun manakala 50 pula direman, dan antara kesalahan ingkar arahan tersebut ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (187), tidak memakai pelitup muka (83) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63).

“Kesalahan lain ialah aktiviti di pusat hiburan (56), aktiviti perjudian (42), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (37) dan lain-lain (49),”katanya.

Menyentuh mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 69,443 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua mereka telah ditempatkan di 69 hotel dan 22 Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

Seramai 396 individu pula telah dihantar ke hospital untuk rawatan, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.