I-Sinar: Masih Ramai Yang Terkesan – Adnan Seman

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Keputusan terbaru kerajaan melonggarkan syarat i-Sinar dengan memberikan hak kepada dua juta ahli daripada 4.7 juta ahli penerima i-Lestari untuk membuat pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya sedikit melegakan namun belum benar-benar membantu kesemua rakyat yang terkesan.

Ini kerana menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman, ia hanya kepada ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

“Bagaimana pula dengan ahli yang gajinya dikurangkan ada yang sehingga 50%, ahli yang kehilangan pendapatan elaun kerja lebih masa, kehilangan komisyen dan baki ahli 2.7 Juta penerima i-Lestari?

“Bagaimana pula dengan ahli yang merupakan majikan dan mahukan pengeluaran demi memastikan perniagaan mereka dapat bertahan dan masih mampu membayar gaji pekerja mereka? Soalnya dalam satu kenyataan di Facebook lewat malam tadi.

KWSP petang semalam, dalam satu kenyataan mengenai i-Sinar membahagikan dua kategori iaitu bagi ahli yang mempunyai baki RM90 ribu dan ke bawah berhak mengeluarkan sehingga RM9 ribu manakala baki melebihi RM90 ribu berhak mengeluarkan 10% tertakluk jumlah maksima RM60 ribu dengan pengeluaran berkala sehingga enam bulan.

Seterusnya, Adnan turut menimbulkan persoalan bukankah pengeluaran yang dibuat secara ‘one-off’ maksima RM10 ribu untuk semua ahli memberi kecairan tunai di dalam pasaran dan mampu menjana ekonomi rakyat dan negara.

“Malah keputusan terbaru kerajaan yg melonggarkan syarat i-Sinar membabitkan dana sejumlah RM14 bilion berbanding RM4 bilion inisiatif yang sama yang diumumkan Menteri Kewangan di dalam pembentangan Belanjawan 2021.

“Peningkatan jumlah yang sangat besar itu juga membuktikan cadangan yang diberikan Barisan Nasional (BN) sebenarnya boleh dilaksanakan sekiranya ianya benar-benar diperhalusi dan dilihat sedalam-dalamnya kaedah dan cara bagi melaksanakannya.

“Ianya bukanlah Hikayat Puteri Gunung Ledang,” katanya lagi.

Adnan juga mahu melihat keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkaitan cadangan moratorium pukal sehingga Jun 2021.

“Inisiatif harus dilebarkan bukan bersasar. Kecairan tunai oleh golongan M40 dan T20 perlu dilihat mampu merancakkan ekonomi dan secara tidak lansung akan membuka peluang pekerjaan dan membantu golongan B40.

“Para majikan mampu bertahan dan mampu terus menggaji para pekerja.

“Akhir kata, semoga i-Sinar tidak menjadi i-Malap buat baki 2.7 Juta ahli yg menerima i-Lestari,” tegasnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Adnan juga berkata Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mencatat rekod 55,976,647 pesakit dijangkiti dan 1,326,859 yang sudah meninggal dunia.

“Pandemik ini telah menjejaskan kehidupan rakyat di banyak negara di dunia termasuk di negara ini yang bukan sahaja kehilangan ahli keluarga tersayang malah kehilangan pekerjaan, perniagaan dan sumber pendapatan akibat krisis ekonomi yang meruncing.

“Penutupan sempadan negara-negara menjejaskan perdagangan antarabangsa, sektor pelancongan dan industri penerbangan dengan jutaan manusia hilang pekerjaan,” ujarnya.

Tambahnya, di Malaysia pada Mei 2020 sahaja kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% dengan jumlah seramai 826,100 tiada pekerjaan.

“Jumlah itu tentunya sudah bertambah sehingga November dengan keadaan ekonomi yg semakin teruk.

“Maka cadangan blok ahli-ahli Parlimen BN utk pengeluaran KWSP RM10 ribu ‘one-off’ dan moratorium pukal selama 6 bulan sehingga Jun 2021 sangat-sangat wajar dipertimbangkan dan dipersetujui oleh kerajaan,” katanya.

Adnan juga memetik kata-kata pembukaan pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan bahawa negara berdepan krisis ekonomi terburuk sejak era ‘the Great Depression’ pada sekitar tahun 1930-an dan krisis ini adalah ‘unprecedented crisis’. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.