Dewan Rakyat Zahir Takziah Atas Kematian Ahli Parlimen Gerik

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Dewan Rakyat hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia semalam akibat serangan jantung.

Ucapan itu dizahirkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, mewakili kesemua ahli Parlimen dan warga petugas institusi tersebut.

“Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang berwibawa dan amat aktif dalam urusan Parlimen. Allahyarham juga merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan ahli Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Allahyarham amat besar dan bermakna kepada negara,” katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri bermula hari ini.

Azhar mengharapkan seluruh ahli keluarga Allahyarham tabah dan sabar menghadapi ketentuan Ilahi dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut meminta ahli Parlimen beragama Islam berdiri dan membaca surah al-Fatihah, sementara yang bukan Islam pula bertafakur selama satu minit sebagai penghormatan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.