Sidang Kemuncak Asean Berjaya, Terima Usul Kerangka Kerja Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Malaysia menyifatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang dilangsungkan menerusi sidang video sebagai amat berjaya meskipun berdepan cabaran susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata di sebalik kekangan untuk bersidang secara bersemuka, persidangan kali ini lancar dengan berjaya menghimpunkan kesemua 10 ketua kerajaan dan Menteri Luar ASEAN serta wakil dari negara Rakan Dialog ASEAN.

Katanya, pemimpin serta Rakan Dialog ASEAN juga memperlihatkan komitmen tinggi terhadap persidangan kali ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 yang bermula Khamis itu melabuhkan tirainya hari ini dan delegasi Malaysia diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pandemik ini juga membawa kepada terjalinnya hubungan dan kerjasama antara negara ASEAN yang lebih kukuh untuk mendepani pelbagai cabaran.

“Walaupun bersemuka adalah lebih baik, tetapi saya yakin biar dalam apa jua keadaan hubungan yang sudah kita bina selama ini di ASEAN tetap dapat terus diperkukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 di sini.

Hishammuddin berkata pencapaian paling bermakna bagi Malaysia kali ini ialah kesepakatan semua negara ASEAN meluluskan Kerangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN.

Kerangka itu dicadangkan Muhyiddin pada Sidang Kemuncak ASEAN +3 Mengenai COVID-19 pada April lalu.

“Persetujuan sebulat suara ini bukan sahaja menonjolkan penghormatan negara ASEAN terhadap Malaysia, malah menyerlahkan keupayaan dan kepimpinan Malaysia dalam usaha memperkasa ASEAN mendepani cabaran serantau serta global terutama pandemik COVID-19,” katanya.

Tambahnya, Malaysia juga merupakan satu-satunya negara yang berani menegaskan pendirian secara terbuka mengenai isu kebencian dan perpecahan yang semakin mengancam dunia.

“Malaysia lantang menyatakan semua pihak mesti mengelak melakukan sebarang keganasan apatah lagi atas nama agama sehingga mencetus kemarahan dan memupuk faham kebencian terhadap agama (Islamophobia),” katanya.

Beliau berkata Malaysia menerusi Perdana Menteri turut memanfaatkan sidang kemuncak kali ini untuk mengetengahkan beberapa agenda penting termasuk pendirian negara dalam isu berkaitan vaksin COVID-19, Laut China Selatan, krisis di Rakhine dan konflik Palestin.

“Malaysia berharap setiap perbincangan, kesepakatan dan persetujuan yang dicapai menerusi sidang kemuncak ini dapat diterjemahkan kepada persekitaran ASEAN yang lebih baik termasuk aspek ekonomi, sosial dan keselamatan,” ujarnya.

Sepanjang persidangan kali ini Malaysia menyertai 17 siri mesyuarat .

Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini dihoskan Vietnam dan diterajui Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020. Brunei akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN 2021.

ASEAN, ditubuhkan pada 1967, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Rakan dialog ASEAN terdiri China, Jepun, Korea Selatan, India, New Zealand, Australia, Rusia dan Amerika Syarikat. – BERNAMA