Tuntutan Syarat Lulus Belanjawan 2021 Hangatkan Minggu Kedua Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Minggu kedua persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 adalah minggu bermulanya perbahasan Belanjawan 2021 yang menyaksikan beberapa tuntutan dibuat blok penyokong kerajaan dan pembangkang sebagai syarat belanjawan itu disokong dan diluluskan.

Perbahasan yang dimulai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) pada Isnin menegaskan Belanjawan 2021 hanya akan disokong jika ia benar-benar belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19 dengan memberi perhatian terhadap pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lanjutan moratorium pinjaman.

Senada dengan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) menyatakan sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Tun Dr Mahathir Mohamad (Langkawi) dan tiga Ahli Parlimen Bebas mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula menangguhkan keputusan untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 dengan mengharapkan cadangan bernas diberikan tempat dalam belanjawan itu sebelum diluluskan.

Ahli-ahli Parlimen lain yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 itu turut mempertikaikan peruntukan berjumlah lebih RM80 juta untuk mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dianggap tidak relevan pada saat negara bergelut dengan pandemik COVID-19.

Sebaliknya, mereka mencadangkan supaya peruntukan itu digunakan untuk membeli peralatan dan kelengkapan kesihatan bagi mendepani COVID-19.

Rata-rata Ahli Parlimen, baik dari blok kerajaan atau pembangkang mahukan Belanjawan 2021 dipinda sesuai dengan tuntutan masing-masing yang dikatakan untuk membantu rakyat menghadapi impak COVID-19.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata bukan sukar untuk membuat pindaan itu, sebaliknya menteri kewangan hanya perlu membuat ‘ministerial statement’ (kenyataan menteri) berkenaan KWSP dan moratorium dalam ucapan penggulungannya sebelum proses pengundian bermula.

“Saya harap itu dilakukan, begitu juga kenyataan mengenai pengeluaran ‘one off’ KWSP Akaun 1 akan dimasukkan,” katanya ketika ditemui Bernama.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Rashid Hasnon ketika ditanya mengenai perkara itu, berkata pengeluaran ‘one-off’ KWSP dan lanjutan moratorium boleh ditambah dalam Belanjawan 2021 dengan hanya memasukkannya dalam ucapan penggulungan Menteri Kewangan kerana ia tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Ya boleh, kerana ia tidak melibatkan wang kerajaan, malah menteri juga boleh mengumumkannya di luar dewan, tidak semestinya di dalam dewan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di peringkat dasar pada minggu keempat persidangan selepas selesai perbahasan Ahli-ahli Parlimen dan penggulungan kementerian-kementerian terlibat.

Selain isu-isu berkaitan belanjawan, persidangan Dewan Rakyat seolah-olah ‘tidak sah’ jika tiada kekecohan dalam kalangan Ahli Parlimen yang membawa pandangan dan pendirian masing-masing.

Kali ini, kenyataan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘takut mati’ kerana tidak turun padang meninjau situasi COVID-19 di Sabah, mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli Parlimen lain sekali gus menimbulkan kekecohan apabila Tiong enggan menarik balik kenyataan itu.

‘Kehangatan’ episod itu yang berlanjutan dua hari, turut menyaksikan RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar dewan pada Rabu dan keesokannya Lim Lip Eng (PH-Kepong) digantung lima hari daripada persidangan selepas kedua-dua mereka tidak mengendahkan arahan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Episod yang bersambung pada Khamis itu bermula apabila Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) meminta Yang Dipertua Datuk Azhar Azizan Harun membuat keputusan supaya menteri kesihatan memohon Tiong menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf.

Persidangan dewan kali ini juga berlangsung dalam normal baharu apabila hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas – dibenar menghadiri persidangan yang dihadkan dari 10 pagi hingga 2 petang bermula Isnin lalu sehingga 15 Dis ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.