Dari Dulu UMNO Juarai Isu Rakyat… Moratorium Dan KWSP Adalah Permintaan Rakyat – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa UMNO dari zaman penubuhannya sehingga kini sentiasa menjuari isu rakyat dan permintaan untuk melanjutkan moratorium serta pengeluaran RM10,000 dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah suara dari rakyat.
Katanya, sekiranya kerajaan yang ada hari ini tidak peka kepada kehendak rakyat maka keadaan boleh menjadi lebih sukar.
“UMNO memang dari tahun 1946 menjuarai isu rakyat dan bukan hanya sekarang ini malah belanjawan yang kita minta juga adalah untuk rakyat. Dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum pembentangan bajet pun, saya telah menyatakan dengan jelas yang kita inginkan dua perkara iaitu moratorium secara pukal dan yang mana ada KWSP boleh mengeluarkan akaun 1 KWSP.
“Rakyat sekarang sedang susah, kenapa… kerana ada yang dibuang kerja, ada yang diminta cuti tanpa gaji, ada yang menganggur tanpa ada punca pendapatan… jumlahnya 840,000 orang maka kalau kita tak peka kepada kehendak rakyat tentu akan jadi lebih sukar.
“Kita akan sokong belanjawan tapi sebagaimana surat BN yang minta luluskan dua perkara maka itulah yang kita perjuangkan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam kupasan isu Belanjawan 2021 menerusi Wacana Siri 208, yang bertajuk ‘Pasca Bajet 2021: B40 Lega, M40 Derita?’. Wacana anjuran Sinar Harian ini telah diadakan secara langsung menerusi siaran dalam laman facebooknya, malam tadi.
Jelas Ahmad Maslan lagi, sekiranya pengeluaran KWSP diluluskan sebagaimana cadangan BN, ia secara langsung akan membantu rakyat dan dari segi kecairan ekonomi, akan bantu gerakkan ekonomi negara… kita bukan mahukan duit dari kerajaan tapi nak duit sendiri dalam KWSP, dan kita juga bukan minta hapuskan hutang.
“Dulu kita (BN) berjanji jika kita menang pilihan raya umum 2018 maka kita nak naikkan BRIM kepada RM2,000 agar ekonomi dikalangan rakyat rancak tetapi semasa BSH dikurangkan dan sekarang melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) ditambah yang nilainya seakan menyamai apa yang BN perjuangkan.”
Berkaitan pelanjutan moratorium pula, beliau berkata hal tersebut bukan hanya melibatkan bank-bank sahaja tetapi boleh diluaskan.
“Motarium bukan hanya pinjaman bank, rumah dan kereta tatapi juga kepada yang lain-lain misalnya Amanah Iktiar Malaysia, pinjaman TEKUN, PUNB, PTPTN dan juga sewa rumah DBKL dilanjutkan dan sebagainya… juga syarikat kewangan berlesen boleh memberi moratorium. Kita mengharapkan ianya dilanjutkan selama enam bulan lagi, dan jika COVID-19 masih ada selepas itu maka moratorium itu boleh dipinda berdasarkan kesesuaian
“Keadaan sekarang menampakkan kesusahan rakyat yang bawah semakin bertambah dan kita tak nafikan cabaran masyarakat antarabangsa semuanya sama, mengalami krisis dan tekanan dalam kehidupan.”
Lantaran itu, beliau berharap agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dibuat di kebanyakan negeri tidak disambung lagi.
“PKPB itu diharap tak terlalu lama kerana menyusahkan rakyat dan merencatkan perniagaan. Berniaga pula sekarang ini macam-macam dan banyak yang menggunakan e-dagang… ada macam-macam cara.
“Kita maklum apakah masalah yang kita hadapi… masalah kita adalah COVID maka seluruh jentera yang ada mestilah memerangi COVID dan bajet ini juga mestilah menumpukan kepada penyelesaian COVID, tapi keputusan kerajaan mestilah tepat iaitu kawasan hijau jangan ada PKPB agar kegiatan rakyat tidak terencat, dan tidak menyusahkan rakyat.”
Ujarnya, kesulitan ini juga memberi pengajaran betapa pentingnya perlu bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran.
“Menteri Kewangan sendiri akui dalam pertemuan bahawa dua perkara permintaan rakyat cukup popular ialah pengeluaran akauan 1 KWSP dan moratorium kerana KWSP ini boleh bantu macam-macam, boleh digunakan sebagai modal memulakan perniagaan… macam-macam perkara. Wang ini sangat penting untuk rakyat nak memulakan kehidupan baru.
“Kalau dulu kita buat hashtag ‘kita jaga kita’ tapi sekarang adalah ‘kita bantu kita’ dan perang mesti menang itu bukan hanya dalam melawan COVID tapi dalam melawan kemiskinan dan kesusahan sekarang ini,” katanya lagi. – UMNO Online