Sampai Bila Masalah Bekalan Air Terus Berlaku… Pengguna Cukup Derita

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Biarpun masalah air yang berlaku semalam di Lembah Klang mula pulih namun isu tersebut dilihat seolah-olah tidak ada titik noktah setelah kerap kali berlaku yang menyebabakan jutaan pengguna terkesan.

Gara-gara loji dicemari dengan pencemaran, penduduk menanggung kesannya dan ditambah pula dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara, sudah pasti masalah tersebut seumpama mimpi ngeri buat penduduk di Lembah Klang.

Terpanggil dengan apa yang berlaku itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Hakasah Abu Hasib berkata pihak yang terlibat perlu melihat secara serius isu berkenaan dengan mengambil tindakan yang pantas.

Malah kata beliau semua pihak tidak kiralah agensi pelbagai peringkat mana sekalipun perlu tampil ke depan dengan jalan penyelesaian terbaik supaya masalah yang berlaku itu tidak lagi berterusan yang kesannya amat memeritkan pengguna di Lembah Klang.

‘’Sampai bilakah kita terus berdepan dengan pencemaran demi pencemaran. Sampai bilakah kita terus berdepan dengan gangguan demi ganguan bekalan air. Percayalah ianya satu perkara yang amat memeritkan apabila berlaku suasana sedemikian.

‘’Kita tidak mahu perkara ini terus berlaku dan sebolehnya perlu dielakkan dengan apa sahaja jalan yang difikirkan terbaik. Kita percaya pengguna sudah letih apabila asyik berlaku ganguan demi gangguan setelah berlaku pencemaran,’’ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam lebih daripada 1.1 juta isi rumah di Kuala Lumpur dan Selangor terjejas oleh gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran di empat loji berkenaan.

Ia melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Mengulas lebih lanjut beliau seterusnya mengharapkan masalah gangguan yang berpunca daripada pencemaran tidak akan lagi berlaku selepas ini.

Sudah pasti katanya perkara berkenaan menuntut kepada ketegasan yang tuntas daripada pihak berwajib untuk memastikan masalah yang berpunca daripada pencemaran tidak lagi berulang.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.