PKPD Di Tiga Lokaliti Di Kudat, Sabah Dilanjutkan Sehingga 26 Nov – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Kudat, Sabah yang berakhir hari ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 26 Nov ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga lokasi itu ialah Kampung Pengaraban, Kampung Tanjung Kapur dan Kampung Landung Ayang.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga 11 Nov, KKM telah melakukan 14,096 saringan kepada penduduk di kawasan ini dan mendapati masih terdapat kes aktif di tiga-tiga lokasi ini iaitu di Kampung Pengaraban sebanyak 21 kes aktif, di Kampung Tanjung Kapur 10 kes aktif dan Kampung Landung Ayang 54 masih aktif.

“Pada masa sama terdapat sejumlah besar sampel ujian saringan masih menunggu keputusan oleh itu atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan setuju supaya PKPD dilanjutkan,” katanya dalam sidang media harian pelaksanaan PKP Pemulihan di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat berdasarkan data yang lengkap daripada KKM bukan sahaja dari jumlah kes positif tetapi juga dari segi penilaian risiko.

“Ramai orang tanya atas alasan apa dan sebagainya (pelaksanaan atau perlanjutan PKPP dan PKPD). Seperti saya katakan, data lengkap diperoleh KKM dan setiap keputusan berdasarkan data dan penilaian risiko termasuk dari segi kebolehjangkitan yang boleh berlaku.

“Inilah yang diambil kira KKM sebelum mereka nasihatkan Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri sebelum kita buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata seramai 431 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKPP semalam dengan 413 dikompaun, 17 direman dan seorang lagi dijamin.

Antara kesalahan termasuk tidak memakai pelitup muka (101), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (78), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (72), aktiviti pusat hiburan (42), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (40).

Mengenai Ops Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, Ismail Sabri berkata seramai 31  pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan, manakala dua kenderaan darat turut dirampas semalam.

Orang ramai turut diminta menghubungi hotline National Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan.

Beliau turut memaklumkan seramai  65,494 individu pulang ke tanah air mulai 24 Julai hingga semalam dan daripada jumlah itu, 9,961 sedang menjalani kuarantin wajib di 68 hotel dan 21 premis termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta.

Selain itu, 388 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 55,145 telah dibenarkan pulang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.