Pembiayaan Bernilai RM965.5 Juta Di Bawah Pembiayaan PKS Penjana Telah Diluluskan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kerajaan, yang memperuntukkan RM2 bilion untuk skim Pembiayaan PKS PENJANA, telah meluluskan pembiayaan bernilai RM965.5 juta sehingga 30 Okt dengan keutamaan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang belum pernah mendapat pinjaman bank sebelum ini. kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata untuk program kedua, pembiayaan sektor pelancongan, menyaksikan 441 PKS telah menyerahkan permohonan mereka, dan daripada jumlah itu sebanyak 181 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM35.9 juta.

Bagi program ketiga, katanya Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS), sebanyak RM79.65 juta telah disalurkan di bawah TBRS yang telah memberi manfaat kepada 11,972 PKS Mikro.

Keempat ialah Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Sehingga 30 Okt 2020, sebanyak RM167.4 juta telah disalurkan bagi memberi manfaat kepada 4,674 PKS Mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan,” katanya ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-28 menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Keempat-empat program itu adalah di bawah matlamat kedua PENJANA, iaitu melonjakkan perniagaan.

Mengulas mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Tengku Zafrul berkata belanjawan berjumlah RM322.5 bilion itu melambangkan kesinambungan usaha kerajaan dengan tiga matlamat untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA, KITA PRIHATIN dan kini Belanjawan 2021 adalah bukti kerajaan tidak akan berkompromi dalam melindungi rakyat.

“Mengambil kira ketidaktentuan COVID-19, kerajaan sentiasa memantau dan bersedia untuk bertindak sewajarnya jika ada keperluan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.