‘One-Off’ KWSP Jadi Harapan, Kerajaan Digesa Dengar Suara Hati Rakyat

KUALA LUMPUR, 12 Nov – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa untuk mendengar suara hati rakyat supaya membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang dari akaun 1 secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000 serta melaksanakan moratorium pinjaman institusi kewangan secara automatik.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, atas prinsip membawa suara rakyat, kerajaan perlu mengubah keputusan awal yang hanya membenarkan pengeluaran KWSP dan moratorium secara bersasar.

“Berjiwa besar mengubah keputusan yang tidak disukai rakyat bukanlah tanda kelemahan kerajaan, sebaliknya ia adalah lambang kepimpinan yang cakna dengan keperluan rakyat serta amat peduli. Jangan biarkan kemarahan rakyat bertukar menjadi revolusi di peti undi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, kerajaan harus mengubah keputusan itu dengan segera kerana lagi lama keputusan awal itu dibiarkan berlarutan tanpa membuat keputusan segera dan membiarkan isu itu menjadi perbahasan di Parlimen, media sosial dan pelbagai platform lain, ia tidak baik untuk imej kerajaan PN.

“Kesusahan orang ramai yang tidak mempunyai tunai ditangan adalah realiti dan keperluan mengeluarkan wang KWSP dan moratorium adalah keterdesakan yang terlalu nyata. Harapan mereka agar kedua perkara itu menjadi keputusan segera kerajaan supaya mereka mempunyai sedikit keupayaan kewangan bagi menempuhi beberapa bulan akan datang,” katanya.

Terdahulu beliau turut menyuarakan agar kerajaan melonggarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sejak Isnin lepas berikutan hasil maklum balas orang ramai yang sangat terkesan dari sudut ekonomi.

“Tatkala kita memahami PKPB adalah bagi membendung penularan COVID-19 dikalangan masyarakat, tetapi langkah berkenaan juga datang dengan impak yang sangat berat bagi ramai orang.

“Sektor pelancongan seperti di Langkawi, peruncitan, penjaja, peniaga makanan, sektor perkhidmatan terjejas teruk apabila perjalanan antara negeri dan daerah tidak dibenarkan.

“Sehubungan itu Pemuda UMNO Kedah berharap apabila masuk minggu kedua PKPB nanti, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat kajian semula dan memberi kelonggaran terhadap beberapa sekatan pada minggu ketiga dan keempat PKPB.”

Ujarnya, antara kelonggaran yang boleh diberi adalah membenarkan semula perjalanan antara negeri dan daerah bagi negeri yang tidak mempunyai bilangan kes yang tinggi.

“Dengan membenarkan pergerakan berkenaan, impak negatif ekonomi dapat diminimakan sekaligus dapat merancakan semula aktiviti perniagaan dan perkhidmatan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.