Sabah Sifatkan Belanjawan 2021 Inklusif, Ambil Kira Segala Aspek – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 8 Nov – Menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai belanjawan inklusif demi kesejahteraan rakyat, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin  menyambut baik dana sebanyak RM5.1 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah untuk pembangunan insfrastuktur di negeri ini.

Beliau berkata walaupun peruntukan itu lebih rendah berbanding RM5.2 bilion pada tahun ini, namun rakyat perlu bersyukur kerana kerajaan Pusat masih dapat menyalurkan peruntukan besar walaupun keadaan ekonomi merudum berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Kita bersyukur dan  berharap daripada sejumlah peruntukan itu Kementerian Kerja Raya negeri akan mendapat agihan lebih banyak memandangkan kementerian itu memerlukan peruntukan yang lebih tinggi  bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.

”Ia termasuk kerja-kerja menambah baik kualiti jalan persekutuan, jalan-jalan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekalan air, menaik taraf sekolah-sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan di bawah kawalan JKR,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen kerajaan Pusat yang memperuntukkan RM3.8 bilion untuk kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Katanya, peruntukan itu termasuk untuk melaksanakan Pakej Serusop ke Pituru sepanjang 21 kilometer menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi ‘missing link”.

Jelas Bung Moktar, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah baki 24 pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun depan.

Secara keseluruhan, katanya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah mempunyai 35 pakej dengan 11 pakej sedang dalam pelaksanaan, satu pakej ditender semula di Tawau, tiga  pakej dalam pemilihan kontraktor pelaksana, manakala baki 20 pakej belum dimulakan.

“Kita berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan peruntukan segera bagi melaksanakan baki 20 pakej lagi agar pelaksanaannya dapat dimulakan seawal RMK-12 ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Penyambungan semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sudah pasti akan membawa limpahan ekonomi  kepada rakyat dan memberi keyakinan kepada pelabur masuk ke Sabah,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama Bung Moktar turut mengulas beberapa inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 seperti menerus dan meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinamakan semula sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap keadaan hidup rakyat memberi kelegaan kepada ramai orang khususnya dalam membantu menaik taraf sosio ekonomi mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang juga Ketua UMNO Sabah itu turut menyambut baik peruntukan untuk pembangunan insfrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Jelasnya, Sabah wajar menerima peruntukan terbesar dalam pelaksanaan projek itu memandangkan masih banyak kawasan khususnya di luar bandar negeri ini belum mendapat liputan jalur lebar yang berkualiti.

“Pelaksanaan projek ini penting untuk menyediakan liputan jalur lebar berkualiti kepada rakyat kerana kemudahan internet semakin penting khususnya untuk menyokong pertumbuhan perniagaan secara dalam talian atau e-Commerce.

“Pada masa yang sama, liputan jalur lebar secara meluas juga perlu untuk memastikan semua sekolah di negeri ini dapat memanfaatkan kemudahan digital selain menyokong kaedah pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi norma baharu dalam usaha mengekang penularan COVID-19,” katanya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.