Belanjawan 2021: Benarkan Pengeluaran Secara ‘One Off’

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pemuda UMNO Negeri Sembilan percaya masih ada ruang untuk diperbaiki dalam konteks pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun hari ini Belanjawan 2021 dilihat tertumpu kepada memberi fokus kepada pemulihan ekonomi di dalam suasana pandemik.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata ketika ianya tertumpu kepada kebajikan rakyat terutamanya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan termasuk kepada barisan hadapan negara, ia masih dilihat masih ada kekurangan dan masih ada ruang yang lebih baik untuk Kerajaan umumkan di dalam Belanjawan negara tahun hadapan.

“Masih boleh dibaiki kerana terlalu banyak kelompongannya. Antaranya, adalah pengeluaran Akaun Satu di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walaupun kita berterima kasih kepada Kerajaan kerana menerima cadangan UMNO ini tetapi ia masih tidak mencukupi.

“Pengeluaran yang dihadkan kepada RM500 sahaja setiap bulan selama setahun dengan had sebanyak RM6,000 dianggap terlalu kecil untuk membantu mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang amat dahsyat hari ini.

“Mengambil kira kos saraan hidup yang semakin tinggi, ia tidak banyak membantu. Yang rakyat mahukan adalah sebuah bantuan yang boleh menjamin mereka meneruskan kelangsungan hidup ketika kebanyakkan mereka hari ini hilang pekerjaan dan dipotong gaji oleh majikan,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu sambung Zaidy kerajaan perlu mempertimbangkan semula kebenaran pengeluaran Akaun Satu KWSP dengan membenarkan pengeluaran secara ‘one off’ iaitu melalui pengeluaran sekurang-kurannya berjumlah RM5,000.

Ini katanya sekali gus dapat membantu mereka menggunakan dana tersebut untuk membayar hutang piutang ataupun menjadikannya sebagai modal memulakan perniagaan.

Jika tidak pun, kata beliau naikkanlah jumlah had pengeluaran bulanan itu kepada sekurang-kurangnya RM2,000 untuk tempoh lima bulan dan apa yang paling penting adalah wang berkenaan dapat digunakan oleh rakyat bagi menyara keluarga mereka.

“Kita tidak mahu ketika negara sedang pesat membangun, tetapi dalam keadaan sekarang, ada di kalangan rakyat kita yang hidup dalam kelaparan. Ini perlu dielakkan.

“Tidak cukup dengan itu, pengeluaran simpanan KWSP janganlah dibuat secara bersasar sahaja. Biarlah dibuat secara menyeluruh. Benarkan semua pemilik akaun membuat pengeluaran. Kerana di saat sukar ini, semua rakyat terjejas.

“Tidak ada seorang pun yang tidak terjejas dengan keadaan ekonomi hari ini. Maka, bantulah semua rakyat. Kerana kita semua terjejas. Kita semua sedang berhadapan dengan saat sukar ketika ini. Maka, tolong lah kami,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Tambah Zaidi dakwaan bahawa wang KWSP adalah merupakan simpanan masa depan sememangnya satu perkara yang benar tetapi, yang penting adalah kelangsungan hidup hari ini kerana bagaimana hendak pastikan masa depan yang baik sekiranya kehidupan hari ini penuh dengan pelbagai masalah kewangan.

“Ini perlu diambil kira sebaik-baiknya. Apa pun, saya percaya bahawa Kerajaan yang ada pada hari ini prihatin dengan masalah rakyatnya. Di atas keprihatinan itu, cadangan-cadangan ini akan dipertimbangkan oleh Kerajaan untuk memastikan setiap rakyat terbela. Yang paling penting rakyat perlulah sentiasa diutamakan,” ujarnya.

Zaidi seterusnya menambah apa guna diumumkan Belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM322.5 bilion, tetapi ia tidak menyeluruh.

Terang beliau tumpuan seharusnya diberikan kepada kebajikan rakyat kerana akhirnya yang akan menjana ekonomi negara adalah rakyat secara keseluruhannya.

“Elakkan bersikap syok sendiri. Berbincanglah sesama sendiri di dalam Kerajaan supaya penambahbaikan dapat dilakukan. Bermuafakatlah sesama kita. Ibarat kata peribahasa perpatih ” Bulat Waris mengadakan Buapak, Bulat Buapak mengadakan Lembaga”. Renungkanlah bersama. Sesuai dengan tema Belanjawan 2021, teguh kita, menang bersama,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.