Belanjawan 2021 Mesti Praktikal, Boleh Dilaksana Untuk Bantu Rakyat – Noh

KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang bakal berlangsung petang ini tentunya menjadi perhatian bukan hanya kerana ia adalah kelangsungan perancangan ekonomi ekoran penularan COVID-19 tetapi juga adalah belanjawan sulung oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Sehubungan itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata belanjawan 2021 ini mestilah bajet yang praktikal.

Ini kerana katanya, Belanjawan 2021 tersebut bukanlah bajet menaruh harapan sebagaimana yang pernah dilaksanakan oleh Perikatan Harapan.

“Perikatan Harapan dah habis maka jangan lagi rakyat menaruh harapan. Maknanya apabila bajet 2021 diumumkan maka rakyat yakin ia boleh dilaksanakan dan akan sampai kepada rakyat.

“Contohnya yang boleh dilaksanakan dengan rakyat boleh dapat terus adalah cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu mengeluarkan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Beri peluang untuk rakyat gunakan simpanan mereka sendiri kerana barangkali simpanan yang mereka simpan sendiri di bank-bank sudah habis maka KWSP ini ada….”


Cadangan kedua pula katanya adalah berkaitan moratorium yang mesti disambung lagi.

“Sudah ada bank yang umum untuk sambung lagi moratorium maka maknanya kerajaan juga boleh umumkan. Jika COVID-19 masih tak selesai kita perlu bantu rakyat, walaupun ada kesannya kepada syarikat kewangan tapi hasilnya adalah lebih untuk rakyat dan pelaksanaan moratorium ini mestilah sampai ke akar umbi meliputi semua yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi segmen ‘Bicara Belanjawan 2021’ yang disiarkan secara langsung melalui laman facebook UMNO-Online, malam tadi dengan dimoderatorkan oleh Datuk Dr Azizan Abdul Majid.

Ujar Noh, sebagai kerajaan yang menjadi harapan maka mesti memikirkan bagaimana nak membela rakyat.

“Kita akan tetap sokong kerajaan Perikatan Nasional tapi dalam masa yang sama kita dalam Barisan Nasional (BN) akan bincang bagaimana nak suarakan hasrat rakyat… walaupun kita berada dalam kerajaan tapi kita bukan nak kaki bodek… bila betul kita katakan betul dan bila ada yang tak kena kita perlu tegur sebagaimana cadangan nak adakan pilihan raya PBT yang akhirnya suara kita didengar.

“Kita akan mainkan peranan untuk rakyat dan bukannya sekadar bercakap berbuih mulut tapi tak ada hasilnya.”

Dalam masa yang sama beliau turut menyentuh berkaitan Belanjawan Negeri Selangor yang telah dibentangkan oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari pada 30 Oktober lalu.

“Saya melihat bajet Negeri Selangor tak boleh beza dengan waktu negara menghadapi COVID-19 dengan sebelum ini. Bajet ini tak ada sentuh bagaimana kerajaan nak bantu rakyat yang terjejas dengan COVID-19.

“Kerajaan negeri tentunya tahu ramai yang terjejas, peniaga terganggu, rakyat hilang pekerjaan, tak ada kerja jadi patutnya kerajaan perlu cari jalan bagaimana nak bantu rakyat.

“Dalam berdepan suasana COVID-19 ini, patutnya kerajaan kena benarkan bagaimana peniaga nak berniaga, perlu kecualikan peniaga kecil daripada lesen atau berikan kebenaran di tempat-tempat tertentu serta mudahkan dengan kesesuaian.

“Janganlah main saman dan angkut barang-barang… suasana sekarang tengah berperang dengan musuh yang kita tak nampak dan Selangor negeri yang paling ramai terjejas maka patutnya kerajaan negeri ambil tanggungjawab.”

Tegasnya, sebagai kerajaan sewajarnya akan mengambil langkah-langkah yang memudahkan rakyat dan membantu meringankan beban mereka.

Misalnya berikan pengecualian bayaran kepada hal-hal tertentu, misalnya sewa rumah PPR atau sebagainya. Kerajaan Selangor mesti merasai bagaimana susahnya rakyat di bawah sana untuk teruskan kehidupan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.