Dewan Rakyat Bersidang 10 Pagi Hingga 2 Petang Bermula Isnin – Speaker

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk melakukan beberapa penyelarasan bagi urusan persidangan Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi memastikan kelancaran persidangan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Antara perubahan yang diputuskan ialah tempoh harian persidangan adalah dari 10 pagi hingga 2 petang dan bilangan Ahli Parlimen yang boleh berada di dalam dewan dihadkan kepada 80 orang untuk satu-satu masa.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang diadakan semalam, yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.

Azhar berkata mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ahli-ahli mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan seperti perubahan waktu persidangan dan urusan mesyuarat mulai Isnin hingga 15 Dis ini.

“Dewan Rakyat akan bersidang bermula 10 pagi hingga 2 petang. Selain itu, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan bagi jawab lisan ialah selama 55 minit dari 10.05 pagi hingga 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan itu mestilah seringkas yang boleh,” katanya dalam pemasyhuran oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada persidangan hari ini.

Teks pemasyhuran itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon sebaik persidangan bermula hari ini.

Beliau berkata Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari 10 pagi iaitu Ahli-ahli Parlimen akan membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama.

“Soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil ketetapan untuk perbahasan di peringkat Dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2021 selama lapan hari iaitu pada 9 hingga 12 Nov dan 16 hingga 19 Nov, manakala jawapan menteri di peringkat dasar kekal tiga hari iaitu 23 hingga 25 Nov.

“Perbahasan di peringkat jawatankuasa selama 11 hari iaitu 26 Nov, 30 Nov, 1 Dis, 2 Dis, 3 Dis, 7 Dis, 8 Dis, 9 Dis, 10 Dis, 14 Dis dan 15 Dis.

“Jumlah hari persidangan Mesyuarat Ketiga ini boleh ditambah sebanyak dua hari iaitu pada 16 dan 17 Dis sekiranya diperlukan,” katanya.

Usul itu mendapat reaksi beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang yang mempersoalkan mengenai tempoh masa persidangan yang terhad sehingga menyukarkan Ahli Parlimen untuk bertanyakan soalan kepada kerajaan.

Takiyuddin menjelaskan mana-mana soalan yang tidak sempat dijawab oleh menteri, Ahli Parlimen boleh membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Belanjawan 2021 atau jawapan akan diberikan secara bertulis.

“Cadangan saya sekiranya soalan tidak sempat dijawab oleh kerajaan kita ada sesi perbahasan bajet, kita boleh bangkitkan dalam perbahasan bajet. Pada masa itu menteri-menteri boleh menjawab. Sekiranya tidak sempat amalan biasa kita masa kerajaan Pakatan Harapan dulu pun secara bertulis,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu apabila Hannah Yeoh (PH-Segambut) membangkitkan isu itu dan bertanyakan apakah platform untuk Ahli Parlimen bertanyakan soalan tambahan.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) sama ada usul itu terpakai sekiranya jumlah kes positif COVID-19 dalam negara menunjukkan penurunan dan persidangan Dewan Rakyat boleh kembali kepada sistem asal, Takiyuddin berkata usul boleh dipinda dan dibuat pada bila-bila masa.

“(Usul) boleh dipinda, boleh dibuat usul baharu dengan persetujuan. Kita ada konsep musyawarah, empat orang Ketua Whip daripada pembangkang akan dirunding,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.