Pelaksanaan Jendela Di Sabah Diharap Berjalan Lancar, Ikut Jadual Ditetapkan – Yakub Khan

KOTA KINABALU, 4 Nov – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berharap pelaksanaan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Sabah dapat dilaksanakan seperti yang dirancang agar liputan komunikasi digital di negeri ini dapat dipertingkat dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Beliau berkata setakat ini status kesalinghubungan kadar penembusan jalur lebar bagi 100 orang penduduk di Sabah adalah 83.3 peratus, iaitu 3.1 peratus bagi jalur lebar talian tetap dan 80.7 peratus bagi jalur lebar mudah alih.

Katanya bagi liputan jalur lebar mudah alih di kawasan berpenduduk, sehingga suku pertama 2020 terbahagi kepada jaringan 2G sebanyak 88.3 peratus, 3G pada 84.1 peratus manakala 4G adalah 71.7 peratus.

“Oleh itu kita berharap masalah liputan komunikasi di Sabah dapat dipertingkatkan mengikut rancangan yang dijadualkan bagi memenuhi permintaan pengguna. Melalui Jendela, 382 menara komunikasi baharu sedang dirancang untuk dibina manakala 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia juga akan dinaik taraf di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

“Selain itu, 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada juga akan dinaik taraf secara komersial oleh pemberi perkhidmatan bagi meningkatkan liputan 4G dan 251,166 premis juga akan disediakan dengan capaian kepada gentian optik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang dikenali sebagai Jendela dalam usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021–2025).

Pelan itu akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.