Jangan Terus Manipulasi Isu Penerokaan Haram Di Raub – Pemuda UMNO Pahang

RAUB, 4 Nov – Mana-mana pihak termasuk pihak pembangkang di negeri ini diingatkan agar tidak terus menjadikan isu pencerobohan tanah di Raub sebagai isu politik apatah lagi sebagai isu perkauman.

Sebaliknya jelas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub, Fadzli Mohamad Kamal apa yang berlaku mengenai isu tersebut yang melibatkan penanam durian Musang King adalah soal membabitkan penguatkuasaan undang-undang.

Menurut beliau perkara berkenaan menuntut penguatkuasaan ditegakkan dan perkara melanggar undang-undang tetap salah dan tidak harus ada pihak cuba mempertahankannya.

“Dalam sejarah, tidak ada peneroka tanah haram menang dalam isu begini. Kami memberi amaran kepada semua ahli-ahli politik yang menggunakan dan berselindung disebalik gerakan Save Musang King Alliance (SAMKA).

“Jangan bertindak melampau dengan memanipulasi isu sebenar dalam kes pencerobohan tanah ini. Cukup-cukuplah mengeluarkan kenyataan yang berbau politik dan perkauman,” katanya kepada UMNO-Online.

Fadzli yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Raub menegaskan, apa yang berlaku di kawasan berkenaan telah menimbulkan kesan buruk kepada Kerajaan Negeri Pahang selain penduduk Raub itu sendiri.

“Kerajaan tidak dapat mengutip cukai yang sekali gus merugikan ekonomi dan hasil negeri, selain kegiatan itu merosakkan ekosistem hutan dan sumber air lantaran pencemaran.

“Hakisan dan tanah runtuh termasuk tebing sungai menyebabkan lumpur dan kekeruhan air serta bendasing lain dari aktiviti penerokaan hutan dan pertanian durian tidak terkawal itu,” tegasnya.

Ujarnya lagi ekoran itu loji rawatan air juga tidak dapat menampung keadaan tersebut yang menyebabkan bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk Raub terjejas dan mengambil masa untuk dipulihkan.

“Kami berdiri teguh di belakang Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang yang berani mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penceroboh tanah ini.

“Kami yakin kerajaan akan tegas dan tidak beri muka kepada penceroboh. Membawa kes ini ke mahkamah adalah proses biasa. Tetapi berpihak atau beri tanah kepada penceroboh sama sekali tidak,” tegasnya lagi.

Baru-baru ini 110 penanam durian tersebut memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang supaya mereka mengosongkan tanah itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuantan Kuantan pada 28 Oktober lalu memberitahu, semua penanam durian itu tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan tersebut. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.