Akta 795 Penting Untuk Pertahan Sumber Dan Pengkomersilkan Biodiversiti Malaysia – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Sumber biologi dan pengetahuan tradisi negara yang dijumpai di negara ini haruslah dikaji dan dibangunkan menjadi produk yang bernilai komersial serta boleh dijadikan sumber pendapatan baharu negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata oleh kerana nilai biodiversiti negara yang begitu tinggi, maka usaha untuk mengawal dan memastikan ianya tidak diambil oleh pihak luar mesti dilakukan.

Menurutnya mengikut nilai yang disebut oleh badan antarabangsa, nilai keseluruhan biodiversity termasuk nilai di dalam negara bernilai lebih dari USD 2 Trilion dan jika dibangunkan dengan baik dan teliti ianya boleh menjadikan sumber pendapatan baharu negara dan pemain industri.

Katanya jika sebelum ini kajian-kajian yang dilakukan oleh institusi tempatan, universiti luar dan sebagainya ianya melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan kemudian mereka akan salurkan kepada pihak-pihak berkaitan.

Namun setelah akta ini digunapakai sepenuhnya, Kementerian telah membangunkan sistem Akses dan perkongsian faedah (ABS) dimana pihak-pihak sama ada penyelidik dan industri di dalam dan luar negara yang ingin terlibat untuk membuat kajian ataupun pengkomersilan apa juga sumber biodiversiti untuk menggunakan sistem ini katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul yang menjawab soalan dari Charles Anthony Santiago ( PH-Klang) berkata semenjak pewartaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 [Akta 795] kementeriannya telah melaksanakan program-program kesedaran dan pembangunan kapasiti kepada pihak-pihak berkepentingan.

“Salah satu program yang boleh dibanggakan ialah “Pendokumentasian Pengetahuan Tradisi Tumbuhan Ubatan Orang Asli Semenanjung Malaysia” oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)”.

Menurutnya program ini telah berjaya mendokumentasikan pengetahuan tradisi tumbuhan ubatan oleh lapan belas (18) suku kaum orang-orang asli di Semenanjung Malaysia di mana ia telah mendapat pengiktirafan “Most Number of Sub-Ethnic Orang Asli Traditional Knowledge (TK) Documented on Medicinal & Aromatic Plants” oleh Malaysia Book of Records.

Negeri di Sabah Dan Sarawak juga turut tidak ketinggalan dalam mendukung Akta 795 ini kata Shamsul lagi.

Sebagai contoh katanya Sarawak Biodiversity Centre (SBC) telah membangunkan produk penjagaan kesihatan seperti syampu, sabun dan terapi aroma berasaskan komposisi minyak yang terdapat di pokok Litsea di Sarawak. Produk ini telah berjaya dikomersialkan dan memberi manfaat kepada penduduk-penduduk peribumi di Sarawak.

Manakala Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC) telah berjaya mewujudkan satu Protokol Komuniti (Community Protocol) untuk komuniti Melangkap di Kota Belud dan menjadikan penduduk di Melangkap berupaya untuk melindungi dan mempromosi pengetahuan tradisional mereka, meningkatkan kesedaran mengenai akses dan penggunaan pengetahuan tradisional, serta mengendalikan proses pemilikan pengetahuan dan perkongsian faedah hasil dari penggunaannya, katanya lagi.

Dan dengan Akta 795 ini, isu biopiracy (kecurian sumber biologi negara) dapat dibanteras, di mana sumber biologi dan pengetahuan tradisi diambil tanpa kebenaran dan dibangunkan untuk tujuan komersial tanpa sebarang perkongsian faedah kepada negara dapat dihalang katanya lagi. – bnnewsonline