Persidangan Dewan Rakyat Berlangsung Separuh Hari Hingga Khamis

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung separuh hari bermula hari ini hingga Khamis apabila ditangguh pada 1 tengah hari sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Usul penangguhan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) sebelum sesi soal jawab dan disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Usul itu kemudiannya mendapat reaksi daripada beberapa Ahli Parlimen yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menjelaskan mengenai status beberapa petugas di Parlimen yang dilapor positif COVID-19.

Pada sesi hari ini, Azhar turut menjelaskan bahawa petugas Dewan Negara dan anggota polis bantuan yang didapati positif COVID-19 tidak berada di bangunan Parlimen selepas menjalani ujian COVID-19 pada Rabu (28 Okt).

Beliau berkata laporan media berhubung polis bantuan itu adalah tidak benar dan individu terbabit sebenarnya bertugas di tempat lain.

“Laporan semalam yang mengatakan polis bantuan kita (di Parlimen) yang mendapat COVID-19 sebenarnya tidak benar, bukan polis bantuan kita sebenarnya, polis bantuan yang bertugas di tempat lain.

“Jadi perkara itu satu kesilapan. Dia bukan bertugas di sini, saya difahamkan dia bertugas di tempat lain… di bawah JPM (Jabatan Perdana Menteri) boleh jadi, tetapi bukan bertugas di pejabat PM, dia bertugas di tempat lain,” katanya.

Mengenai laporan empat petugas Dewan Negara positif COVID-19, Azhar berkata mereka bukanlah kakitangan Dewan Negara, sebaliknya petugas kepada seorang Ahli Dewan Negara yang hadir ke Parlimen membuat ujian COVID-19 pada Rabu lepas.

“Mungkin Senator itu dan staffnya hendak menghadiri Belanjawan 2021 Jumaat ini. Mereka hadir membuat ujian saringan dan didapati positif, tetapi mereka tidak datang hari-hari dan berlegar di Parlimen, jadi itu bukan kesnya,” kata beliau.

Azhar menjelaskan perkara itu apabila Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) membangkitkan isu itu dan melahirkan kebimbangan berikutan berita yang dilaporkan itu yang menyebut bahawa polis bantuan yang bertugas di Parlimen serta empat kakitangan Dewan Negara dijangkiti wabak itu.

Mahfuz berkata beliau bimbang kesemua petugas yang didapati positif COVID-19 itu berlegar di kawasan Parlimen berikutan mereka menjalani ujian saringan pada 28 Okt.

“Mereka berlegar di sini… jadi saya agak bimbang dalam suasana dan keadaan begini, pertama apakah benar empat orang staff Dewan Negara itu positif dan polis bantuan itu positif?” soal Mahfuz.

Sementara itu, Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang berkongsi pejabat dengan Senator berkenaan ingin tahu bilakah kali terakhir pegawai Senator itu hadir ke pejabat dan sama ada kawasan itu telah disanitasi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat kemudiannya memberitahu pihaknya akan mengeluarkan penjelasan berhubung perkara itu dan meminta semua Ahli Parlimen bertenang.

“Saya minta semua Ahli Parlimen bertenang dan jaga keselamatan masing-masing. Ikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan. Kita semua di sini negatif COVID-19… jadi, bawa bertenang,” katanya.

Berikutan persidangan Dewan Rakyat berlangsung separuh hari sehingga Khamis ini, persidangan Kamar Khas turut diawalkan kepada pukul 11 pagi hingga 1 tengah hari atau setelah selesai urusan dalam aturan urusan mesyuarat Kamar Khas, bermula hari ini hingga Khamis.

Mengikut Aturan Urusan Mesyuarat harian biasa, persidangan Kamar Khas dijalankan pada pukul 2.30 petang. – BERNAMA