Bagaimana Membiayai ‘Job Bank’ ?

Semalam saya cadangkan Kerajaan melaksana dan membiayai skim jaminan pekerjaan atau Job Bank – sesiapa yang mahu kerja ditawarkan kerja.

Selalunya apabila kita mohon Kerajaan belanja, jawapan popular adalah “Kerajaan tak ada duit”.

Pernah tak kita terfikir, duit RM datang dari mana?

Adakah Kerajaan mesti “mencari” duit melalui pinjaman atau cukai? Sebelum Kerajaan mencukai duit, macam mana duit itu boleh wujud asalnya?

Atau saya tanya soalan serupa dari sudut lain: pernah tak terfikir berapa jumlah RM dalam sistem ekonomi kita? Adakah jumlah RM itu kekal satu jumlah atau mampu naik turun mengikut situasi? Jika RM itu kekal satu jumlah sahaja, maka logik-lah Kerajaan perlu “cari” duit. Tetapi jika RM tidak tetap, maka siapa yang paling berkuasa menentukan jumlahnya?

Soalan serupa dari sudut lain: Kalau jumlah RM kekal pada satu tetap, bukankah itu bermaksud jika Kerajaan cari duit maka dia akan ambil duit dari kita?

Cuba fikir 2 minit sebelum membaca seterusnya.

—-

Hakikatnya, Kerajaan Malaysia adalah Kerajaan berdaulat dengan kedaulatan kewangan. Semua RM yang wujud asal dari Malaysia, dan Bank Negara Malaysia. Bukan datang dari luar. Bukan juga rakyat yang wujudkan duit. Ini kesedaran dan logik asas yang saya rasa kita semua tahu, cuma kadang-kala terlupa.

Ini bermaksud, Kerajaan Malaysia secara asasnya tidak perlu cari duit seperti saya atau anda. Kerajaan Malaysia adalah “currency issuer” bukan “currency user”.

“Currency user” seperti negara-negara dalam Eurozone yang tiada Bank pusat negara sendiri dan bergantung kepada matawang Euro yang dikawal Bank Pusat Eropah. Malaysia tidak begitu.

Adakah ini bermaksud Kerajaan kita boleh cipta duit? Perkara itu sememangnya berlaku melalui sistem perbankan dan melalui perbelanjaan defisit (penjelasan prosesnya panjang dan teknikal; tak perlu saya butirkan di sini kerana tak mengubah hujah asas).

Adakah ini bermaksud Kerajaan wajar cipta duit sesuka hati dan berbelanja sesuka hati? Tidak.

Kenapa? Kerana risiko inflasi.

Apa maksud inflasi? Kenaikan harga yang mendadak dan berterusan kerana nilai matawang jatuh akibat terlalu banyak RM dalam peredaran dalaman ekonomi mengejar jumlah keluaran (output) yang sama.

Contoh: Mula-mula ada RM10 dalam ekonomi kita dan 5 output. Tiba-tiba ada RM100 dalam ekonomi tetapi output tetap 5. Tentunya harga 5 barang itu akan meningkat. Ini yang berlaku di Zimbabwe, Venezuela.

Adakah kita dalam risiko inflasi sekarang? Tidak.

Kenapa?

– Ekonomi satu dunia merudum. Halaju (velocity) kewangan rendah. Orang tak belanja. Yang kaya tak belanja – mereka simpan duit; yang tak kaya tak ada duit pun nak belanja.
– Malaysia ada rizab matawang asing dan berada dalam lebihan akaun perdagangan/akaun semasa (nilai eksport kita melebihi import). Bermaksud kita tak perlu panik “cetak” RM untuk bayar USD atau matawang lain.
– Malaysia tidak lagi ada banyak pegangan hutang matawang asing seperti yang dihadapi negara seperti Argentina, Brazil, Ukraine banyak berhutang dalam USD. Sekali lagi tiada kekhuatiran untuk membayar hutang matawang lain sehingga perlu “cetak” RM untuk ditukarkan kepada USD.

Natijahnya?

Ini masa untuk Kerajaan menggunakan kedaulatan ekonomi yang telah terbina selama berdekad, untuk belanja dan defisit bagi merancakkan ekonomi. Defisit Kerajaan adalah surplus (lebihan) kepada rakyat. Beri duit kepada rakyat yang memerlukan.

Gajikan rakyat melalui Job Bank atau skim jaminan pekerjaan sepertimana posting saya semalam. Bila rakyat bekerja, output pun bertambah dan risiko inflasi yang terkawal akan bertambah terkawal. Ingat, jika jumlah RM sistem bertambah tetapi output juga meningkat, tiada masalah.

Rakyat yang tak boleh bekerja? Tambah jumlah Prihatin dan bantuan tunai lain. Keluaran KWSP boleh dipertimbangkan, tapi lebih afdal Kerajaan yang beri bantuan. Rancakkan ekonomi dan bina masyarakat penyayang.

Defisit? Jika faham apa yang diterangkan diatas, kita tak akan takut sangat dengan defisit dibiayai matawang sendiri.

Wujudkan lebih banyak bon Kerajaan. Pinda undang-undang yang melarang perbelanjaan mengurus melalui bon. Pinda undang-undang yang mengehadkan Bank Negara untuk melanggani bon Kerajaan.

Revolusikan ekonomi Malaysia.

Oleh: Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.