12 Ahli Parlimen Dilantik Jawatankuasa PAC

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Seramai 12 Ahli Parlimen hari ini dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu.

Mereka ialah Ahli Parlimen daripada Bersatu iaitu Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang); Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) dan Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu).

Turut dilantik Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti); Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik) daripada PAS serta Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh).

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut); Wong Shu Qi (Dap-Kluang) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar).

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata beliau telah mengemukakan Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ke dalam Majlis Dewan hari ini dengan ketetapan melantik ahli jawatankuasa PAC yang baharu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 76(2).

Pengerusi PAC Wong Kah Woh (Dap-Ipoh Timor) dan Naib Pengerusi Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) telah dipilih oleh Dewan Rakyat pada 27 Ogos lepas – BERNAMA