Persidangan Dewan Rakyat Hari Ini Ditangguh 1 Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Persidangan hari pertama Dewan Rakyat hari ini hanya berlangsung separuh hari apabila ditangguh pada 1 tengah hari sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini.

Usul penangguhan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan menurut Peraturan Mesyuarat 12(1) selepas sesi soal jawab dan disokong oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Keputusan itu diambil selepas mesyuarat tergempar pada 10.30 pagi yang dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dan ketua-ketua Whip parti serta wakil Ketua Pengarah Kesihatan yang membincangkan beberapa ketetapan norma baharu persidangan, dengan syarat ia tidak menjejaskan hak-hak Ahli Parlimen.

Takiyuddin berkata mesyuarat khas tergempar itu diadakan bagi semua wakil parti Ahli-ahli Parlimen membincangkan perkara yang menjadi keutamaan dalam persidangan kali ini iaitu usaha bagi menangani COVID-19 di negara ini dan memberikan fokus kepada pembentangan Belanjawan 2021.

Usul yang dikemukakannya itu mendapat reaksi beberapa Ahli Parlimen yang terkejut dan meminta rasional penangguhan Dewan atas alasan semua Ahli Parlimen telah melakukan saringan COVID-19.

Menjawab hal itu, Takiyuddin kemudiannya mendedahkan terdapat beberapa kakitangan Dewan Negara disahkan positif COVID-19.

“Dijangka ada Ahli Dewan Negara yang kemungkinan positif kerana pegawai itu bekerja dengan Ahli Dewan Negara dan turut mempunyai kaitan keluarga.

“Kami dinasihatkan pihak KKM (Kementerian Kesihatan) bahawa risikonya amat tinggi dalam kedudukan kita yang tertutup walaupun mempunyai cermin (pemisah antara kedudukan Ahli Parlimen) tetapi sejauh mana ia boleh bantu kita untuk cegah penularan. KKM kata lebih lama kita berada dalam keadaan begini, risikonya lebih tinggi.

“Ini perkembangan yang membimbangkan kita. Saya rasa Ahli Parlimen perlu dapatkan penjelasan daripada Ketua Whip yang sudah bersetuju untuk kita buat sedikit pelarasan berhubung tempoh masa persidangan tiada sebelah petang,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bangun mencelah berhubung usul penangguhan persidangan Dewan itu.

Sim yang kecewa dan terkejut dengan keputusan itu berkata tiada keperluan untuk memendekkan masa bersidang memandangkan persiapan bagi persidangan Dewan Rakyat telah dilaksanakan dengan baik oleh KKM.

“Saya tidak nampak rasional untuk kurangkan masa (bersidang) kerana COVID-19 akan menyerang bila-bila masa dan tidak bercuti selepas 1 tengah hari. Kerajaan sepatutnya membawa lebih banyak dasar untuk bantu rakyat. Saya amat kecewa dengan keputusan ini,” katanya.

Menjawab soalan Sim adakah persidangan separuh hari itu akan berlangsung sepanjang minggu ini, Takiyuddin berkata: “Ini mungkin dilakukan untuk minggu ini sahaja, sebelum bajet (pada 6 Nov). Selepas bajet akan dibincangkan dengan Ketua (Whip) parti.”

Usul itu kemudiannya dipersetujui dengan suara terbanyak. – BERNAMA